Menurut Setiausaha Agung parti itu Datuk Takiyuddin Hassan usul yang sudah tersenarai dalam kertas perintah itu sepatutnya akan menjadi salah satu agenda sidang Dewan Rakyat kali ini.
“Saya masih optimis, saya masih menaruh harapan… itu perkara biasalah kita tunggulah.
“Terpulang kepada mereka (kerajaan) tetapi kami (PAS) masih berharap agar usul itu dibentangkan pada sidang kali in,” katanya.
“Apabila usul itu sudah tersenarai dalam kertas perintah maksudnya usul itu akan dibentangkan,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata, PAS masih boleh bertoleransi jika RUU tersebut ditunda pada sesi persidanga Dewan Rakyat akan datang.
Memetik laporan Sin Chew Daily, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata RUU Akta 355 mungkin tidak sempat untuk dibentangkan dan dibahaskan pada Parlimen tahun ini kerana Dewan Rakyat hanya mempunyai baki dua hari selepas perbahasan Bajet 2017 selesai.
Namun beliau berkata, dua hari itu sudah tentunya akan didahulukan untuk arusan kerajaan.
Takiyuddin dalam pada itu menyifatkan kenyataan Azalina itu hanya pendirian peribadinya.
“Dia (Azalina) bagi pendapat dia. Itu bukan keputusan Parlimen,” ujarnya.
Sidang Dewan Rakyat dijadualkan berlangsung sehingga 24 November ini.
Enam hari diperuntukkan untuk rang undang-undang dan urusan kerajaan lain, manakala 23 November hingga 24 November untuk urusan lain.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini bertanggungjawab mengemukakan usul mendapatkan persetujuan ahli Dewan untuk membentangkan rang undang-undang memperluaskan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.
Usulnya perlu dibahas dan diundi ahli Parlimen terlebih dahulu.
Sekiranya usul itu diluluskan, RUU dianggap sudah dibentangkan tetapi menteri berkaitan perlu kemukakan ia untuk dibahaskan.
RUU itu mahu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membolehkan mahkamah syariah negeri melaksanakan sebarang hukuman yang diperuntukkan dibawah undang-undang Islam kecuali hukuman mati.