PAS, ASWAJA kecam anugerah hina Mufti Perak

Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Perak dan Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) mengecam keras tindakan Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dan Inisiatif Kesaksamaan Gender (GEI) yang menghina Mufti Perak.

Ketua DPPN Perak, Mohd Akmal Kamaruddin, berkata tindakan menamakan Mufti Perak sebagai ‘pemenang’ Anugerah Aiyoh Wat Lah kategori ‘menghina intelektual’ adalah satu perbuatan biadab dan menunjukkan bahawa merekalah golongan yang menghina intelektual atas kejahilan mereka.

“Harussani berhujah atas ilmu dan kebenaran. Hujah yang dikeluarkan dalam isu tiada konsep rogol dalam perkahwinan adalah bertepatan dengan perihal munakahat berlandaskan syarak.

“DPPN Perak memandang serius kekerapan penghinaan demi penghinaan terhadap agama oleh beberapa NGO dan individu atas nama kebebasan bersuara dan hak asasi manusia. Tindakan mereka jelas menunjukkan kurangnya kefahaman terhadap Islam malahan lebih parah apabila ada yang mula menentang Islam secara terang.

“Sehubungan itu, DPPN Perak mendesak kerajaan agar menangani penyebaran fikrah songsang yang semakin parah ini.Serangan pemikiran ini menatijahkan kesan yang buruk kepada umat Islam di Malaysia khususnya di Perak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden ASWAJA, Zamihan Mat Zin, berkata tindakan oleh kumpulan liberal jahil itu bukan saja menghina Mufti Perak, malah menghina Islam secara keseluruhannya.

Oleh itu pihaknya menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemimpin NGO berkenaan yang secara terangan menghina serta mencabar kesucian Islam sebagai agama persekutuan.

“ASWAJA berdiri teguh dibelakang Mufti Perak dan menentang sebarang cubaan menghina ataupun mempersenda Mufti Perak yang bercakap atas dasar prinsip Islam.

“Kami juga mencabar kumpulan NGO ini untuk bersemuka bagi berdiskusi, bermuzakarah ataupun berdebat mengenai isu Islam bila-bila masa dan di mana saja.

“Saya mendoakan pemimpin NGO berkenaan yang menghina Mufti dan Islam supaya diberi hidaya dan kembali kepangkal jalan selain menyeru supaya bertaubat sebelum tibanya bala dari Allah,” katanya.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia