UMNO Terengganu tidak terjejas dengan parti baru Mahathir

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata beliau yakin parti itu akan terus mendapat sokongan yang berterusan daripada setiap anggota parti termasuk di peringkat akar umbi.

“Ini bukan pertama kali berlaku dalam UMNO. Dahulu pun masa Datuk Onn Jaafar menubuhkan Parti Negara, UMNO tetap teguh. Begitu juga dengan penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Semangat 46.

“Pada saya parti serpihan (UMNO) yang ditubuhkan atas dasar kekecewaan, ia tidak akan ke mana-mana kerana rakyat yang memberi sokongan yakin dengan UMNO bahawa ia adalah relevan untuk dahulu, kini dan selamanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan stesen radio Manis FM di Kuala Terengganu, pada Selasa.

Khamis lepas, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14.

Sementara itu, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dalam sidang media berasingan menyifatkan hasrat mantan Perdana Menteri itu sebagai usaha sia-sia malah parti itu tidak akan kekal lama.

Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata penubuhan sesebuah parti perlu berasaskan kepada perjuangan dan bukan bersifat peribadi.

“Bagi saya kalau ada yang berjuang hanya untuk kepentingan peribadi berbentuk serangan peribadi ia tidak lama.

“Perjuangan mestilah berasaskan kepada ideologi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelajar Program Parlimen Mahasiswa Kali Kedua 2016 di Kuala Lumpur.

Jelas Abdul Aziz, Mubarak bersifat terbuka terhadap mana-mana bekas pemimpin yang mahu menubuhkan parti baharu memandangkan negara mengamalkan sistem demokrasi.

“Soalnya sekarang adakah parti itu efektif. Jika Tun Mahathir mahu tubuh parti maka beliau boleh teruskan,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri