Papar Masih Catat IPU Tidak Sihat, Pembenihan Awan Gagal Hapus Jerebu

PAPAR: Papar masih mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat walaupun operasi pembenihan awan yang dilaksanakan semalam dan Jumaat lalu berhasil menurunkan hujan dengan kejayaan 67 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Mohd Fuad Abdullah, berkata bacaan IPU di daerah ini yang diambil di Kimanis mencecah hingga 200 kelmarin sebelum turun ke paras 175 selepas hujan pada jam 9 malam tadi, manakala 158 pada jam 9 pagi ini.

Bagaimanapun, katanya penurunan itu masih pada paras tidak sihat dan beliau mengingatkan orang ramai di sekitar daerah ini supaya mengelakkan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelak situasi bertambah buruk.

“Daerah Papar turut menerima kesan langsung daripada bacaan IPU tidak sihat melebihi 24 jam iaitu antara 151 hingga 200 dikenal pasti di kawasan Kimanis.

“Selepas kejayaan operasi pembenihan awan (OPA) semalam, IPU di Kimanis setakat jam 9 malam tadi sedikit berkurang kepada 175 tetapi masih pada tahap tidak sihat.

“Oleh itu, bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya pembakaran terbuka pada musim panas, Jabatan Penerangan Negeri Sabah khususnya Pejabat Penerangan Daerah Papar melaksanakan Info On Wheels di beberapa lokasi,” katanya dalam kenyataan perkembangan semasa bencana kemarau daerah, di sini.

Semalam, katanya program Info On Wheels Jabatan Penerangan dilaksanakan di Kampung Belud Kota Kawang, Kampung Lama Kawang, Kampung Tanaki dan Kampung Marahang.

Sementara itu, katanya daerah ini merekodkan curahan hujan sebanyak empat milimeter selepas operasi pembenihan awan yang dilaksanakan di kawasan tadahan di kawasan Papar, semalam.

Operasi itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Bahagian Bekalan Air Wilayah Persekutuan Labuan dimulakan pada jam 11.05 pagi hingga 1.56 tengah hari semalam.

“Sehingga jam 4 petang semalam, jumlah hujan di Papar mencatatkan empat milimeter iaitu dengan kejayaan 67 peratus,” katanya.

Operasi pembenihan awan yang menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM dimulakan Jumaat lalu dan dijadual berakhir hari ini dengan tumpuan di kawasan tadahan daerah Papar, Lahad Datu dan Tawau.

Kemarau sejak Februari lalu menjejaskan sebanyak 44 kampung, 37 sekolah, 19 taman perumahan dan lapan rumah ibadat di sekitar daerah Papar membabitkan kira-kira 150,000 penduduk.

Situasi itu menyebabkan penduduk daerah ini menghadapi masalah air yang kritikal hingga daerah ini diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau sejak 13 Mac lalu bagi membolehkan operasi penghantaran air kepada penduduk diselaraskan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB). -Berita Harian

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia