Perkara itu penting bagi memastikan PAN dapat memainkan peranan sewajarnya sebagai pengganti PAS dalam pakatan seperti diharapkan DAP.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata itu adalah satu-satunya cara bagi parti serpihan itu untuk bergerak sebagai sebuah parti baharu.
“Jika Parti Amanah Negara mahu hidup, dia kena bertanding di kerusi DAP. DAP perlu bagi kerana PAN seolah-olah anak buah yang kelihatan begitu serasi.
“Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Parti Amanah Negara gagal mendapat undi Melayu dan hanya memperoleh undi bukan Melayu atas bantuan DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis tadarus, iftar dan ceramah Ghazwah Badar di Pasir Tumboh, Kelantan malam tadi.
Mengenai cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang meminta PAS hanya bertanding di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis manakala kerusi lain diberi kepada parti serpihannya pada PRU akan datang, Tuan Ibrahim berkata, PAS wujud sebelum DAP.
“PAS tetap bertanding di lokasi tradisi. Sekiranya itu pemikiran Kit Siang, saya cadangkan dia bertanding di Pulau Pinang,” katanya.