Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution mengakui PAN lebih penting berbanding PAS dalam usaha menjatuhkan UMNO-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.
Saifuddin menyifatkan PAN itu umpama mata bagi PKR manakala PAS pula diibaratkan itu cermin mata bagi PKR yang mana jika tidak memakainya tidak mengapa.
“Cermin mata boleh tanggal. Bahkan, sekarang sudah ada rawatan khas yang membolehkan kita tak perlu pakai cermin mata,” katanya pada Wacana Terbuka: Amanah Bawa Tuah atau Rebah? malam tadi.
Hadir sama pada forum itu Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke itu.
Dalam program lebih dua jam itu juga, Saifuddin mendedahkan kepincangan kepimpinan PAS sejak blok pembangkang masih dalam gagasan Pakatan Rakyat.
Beliau berkata, pendirian PAS semuanya terletak pada Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang walaupun parti itu sudah sedia memiliki struktur dan proses tertentu dalam membuat keputusan.
“PAS dulu dan sekarang ada strukturnya. Semua proses itu terpakai tapi sekarang semua keputusan di pihak Presiden.
“Ketika Langkah Kajang pun, masalah timbul apabila berlaku ‘u-turn’ di pihak PAS,”
Katanya, PAS sudah melanggar kesepakatan yang ditandatangani bersama bagi mengelak pertembungan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu (PRU-13).
“(Keputusan rundingan elak pertindihan) kita sudah cantik tapi PAS tetap letak tujuh calon dan akhirnya bertindih.
“Padahal, kita sudah minta pada pimpinan PAS dalam mesyuarat rasmi bukan tepi jalan. (Hasil selepas itu) negatif,” ujarnya.
Mengakui PKR sukar untuk mengendurkan keegoan PAS, beliau memberitahu pihaknya masih tidak berputus asa untuk berunding dengan parti itu walaupun tidak dapat memberi jaminan untuk mendamaikan PAS.
Katanya, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah sendiri mempelawa PAS bersama pakataan dan usaha untuk berunding sampai sekarang dibuat tetapi gagal.
“Saya sendiri berdepan dengan Datuk Mustafa Ali, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau pada masa juga mendedahkan sikap PAS terhadap DAP dalam pertemuan bersama pemimpin parti Islam itu.
“Bila ditanya ‘apa pandangan kamu terhadap DAP’? (Jawab PAS) ‘DAP musuh Islam’. Noktah.
“Kita (PKR dan DAP) tidak langgar perjanjian (bertanding satu lawan satu). Saya sangat terluka (dengan PAS). Lebih mudah berjanji dengan ‘Cina DAP’ daripada pemimpin parti Islam (PAS). Parti saya dikhianati,” luahnya lagi.
Turut tampil sebagai panel pada forum di Gerak Budaya, di Petaling Jaya itu Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar dan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Arutchelvan.