Undi masyarakat Cina dilihat akan memihak PAN kerana parti itu mesra DAP berbanding PAS yang sedang berkonfrantasi dengan DAP
Calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad, berkata meskipun undi Cina bukan penentu di kerusi itu, namun sudah pasti ia akan mengurangkan undi PAS.
Beliau berkata, jika itu berlaku semestinya ia memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk mencipta kemenangan sekali gus mempertahankan kerusi itu.
“Walaupun saya rasa (peluang) seimbang antara BN dan PAS, namun kehadiran PAN sedikit menjejaskan undi PAS khususnya dari kalangan masyarakat Cina dan India.
“Sebab itu, saya mahu gerak kerja kempen jentera adalah untuk mendapat pengundi Cina,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Namun, Ketua Dewan Muslimat PAS Perak itu, tetap optimis untuk meraih undi Cina dan India bersandarkan gerak kerja yang dimainkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
“Malah saya sendiri boleh berkomunikasi dalam bahasa Tiong Hua, sedikit sebanyak memudahkan saya untuk beramah mesra dengan pengundi Cina,” katanya.