Ketua Penerangan Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, Pakatan Harapan mungkin akan meletakkan calon mereka dalam PRK Sungai Besar sama ada dari parti Amanah, PKR atau DAP.
“Ada kemungkinan tiga penjuru. Kalau tiga penjuru membuktikan ia sokongan kepada Pakatan Harapan, bukan pada parti-parti sendirian yang bertanding.
“Amanah akan bermesyuarat pada 15 hari bulan untuk bincang perkara ini, akhirnya kita berpandangan calon yang nak diturunkan mesti calon Pakatan Harapan,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Walaupun keputusan sama ada untuk bertanding belum dimuktamadkan, Khalid berharap calon dari Amanah akan dipilih untuk mewakili Pakatan Harapan di Sungai Besar.
“Tapi bagi AMANAH, kalau boleh kita nak lah (bertanding), kita akan berhujah (dalam mesyuarat Pakatan Harapan), bertemu dan berbahas tapi tidak ada makna kalau kita tidak tonjolkan Pakatan Harapan,” katanya.
Kerusi Parlimen Sungai Besar menjadi kosong selepas penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lepas.