Pakatan Harapan hantar memorandum bantah kenaikan caj parkir DBKL

Malah, mereka turut mengadakan protes di bahagian luar bangunan DBKL hari ini termasuk melancarkan petisyen dalam talian bagi membantah kenaikan tersebut.

Antara yang terlibat dengan protes tersebut hari ini ialah Ahli Parlimen Seputeh, Teressa Kok, Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

PH turut menyerahkan surat kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mana antara isi kandungannya adalah untuk menurunkan kadar tarif parkir selepas menerima bantahan dari penduduk Kuala Lumpur.

“Dalam kenyataan DBKL/Kementerian Wilayah Persekutuan pada 18 Julai 2016, YB Menteri/Datuk Bandar berkata tujuan kenaikan kadar parkir adalah untuk mengurangkan kemasukan kenderaan masuk ke pusat bandar Kuala Lumpur serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Namun demikian, harus diakui pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Lembah Klang masih berada pada tahap yang tidak memuaskan sehingga menyebabkan penduduk di Lembah Klang terpaksa memandu kereta untuk bekerja di Kuala Lumpur.

“Tambahan pula, keputusan DBKL dan Kementerian yang meluluskan bangunan yang mempunyai kepadatan tinggi tanpa mengambil kira faktor trafik di Kuala Lumpur juga jelas bercanggah dengan objektif kerajaan untuk mengurangkan kereta untuk masuk ke pusat bandar,” memetik surat yang diberikan kepada Tengku Adnan yang dipaparkan di Facebook Teressa hari ini.

Malah mereka juga membangkitkan isu penswastaan parkir DBKL yang disifatkan sebagai merugikan penduduk.

“Kami membantah penswastaan sistem parkir di Kuala Lumpur kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan DBKL. Sebanyak 30% daripada jumlah kutipan parkir akan diuruskan oleh YWP sahaja. YWP adalah bukan agensi kerajaan tetapi ia merupakan NGO yang diketuai oleh YB Menteri dan juga pemimpin UMNO dan BN di Wilayah Persekutuan.

“YWP merupakan sebuah yayasan dan tidak mempunyai sistem audit serta boleh menjurus kepada persoalan salah urus tadbir keuntungan yang diperolehi serta rakyat akan membantah pendekatan kronisme yang dilakukan oleh pihak DBKL,” memetik surat itu lagi.

Sebelum ini, DBKL meningkat kadar parkir kepada hampir 150 peratus di kawasan pusat perniagaan (CBD) mulai 8 Julai lalu.

Ia menjejaskan kawasan-kawasan seperti Bukit Bintang, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Bukit Damansara, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar.

Berikutan bantahan orang ramai, DBKL kemudiannya menyelaraskan kadar letak kereta mengikut jam di kawasan-kawasan berkenaan dari RM2 sejam kepada RM1.50 untuk jam yang pertama, dan RM3 kepada RM2.50 untuk jam kedua dan seterusnya.

Bagi kawasan di luar pusat bandar tetapi mempunyai tahap aktiviti tinggi seperti Sentul, Bangsar dan Brickfields, caj yang dikenakan untuk jam pertama dan seterusnya adalah RM1, manakala bagi kawasan di luar pusat bandar seperti Segambut, Taman Tun Dr Ismail, Setiawangsa, Sungai Besi dan Bandar Tun Razak, kadar untuk jam pertama dan seterusnya adalah RM0.80.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia