Daripada RM739.28 juta yang diperuntukkan bagi tahun depan, sebanyak RM738.06 juta adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM194.83 juta.
Adnan berkata hasil kerajaan negeri pada 2017 akan diperoleh menerusi kutipan hasil tanah dan galian yang berjumlah RM343.18 juta, perhutanan RM100 juta, hasil air RM5.5 juta, pemberian geran daripada kerajaan persekutuan RM105.3 juta dan lain-lain hasil RM185.3 juta.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Pahang 2017 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Menurutnya daripada jumlah perbelanjaan itu, sebanyak RM545.32 adalah untuk perbelanjaan jabatan, dasar baharu (RM23.14 juta) bajet ‘one-off’ seperti untuk bayaran pinjaman Felda Global Venture (FGV), bayaran tunggakan pencen dan terbitan pencen bagi Anggota Dewan Undangan Negeri (RM169.6 juta).
Menjelang 2017, katanya Pahang dijangka terus mencatatkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.7 peratus dengan mengambil kira pertumbuhan ekonomi negara yang diramal berkembang pada kadar lima hingga enam peratus setahun.
Bagi meningkatkan pendapatan per kapita dan pendapatan isi rumah serta kesejahteraan rakyat di Pahang, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan perhatian terhadap usaha-usaha peningkatan inovasi dan produktiviti dalam Rancangan Malaysia Ke-11.
Adnan berkata bagi Bajet 2017, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada empat strategi utama iaitu memperkasa sektor perumahan, kebajikan, pendidikan dan mencari sumber ekonomi baharu untuk pendapatan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri akan memastikan setiap rakyat negeri ini mampu memiliki rumah sendiri. Selain itu, bidang pendidikan akan terus diberi penekanan dan kemiskinan dipastikan tidak menjadi halangan bagi rakyat mendapat pendidikan serta latihan kemahiran tinggi sewajarnya.
“Kebajikan rakyat terutamanya yang tinggal di luar bandar juga tidak akan dilupakan terutamanya dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat pada masa ini dengan melaksanakan program meningkatkan taraf hidup mereka menerusi agensi-agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya.
Adnan berkata kerajaan negeri juga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas Pemandu yang dipengerusikan beliau dan dianggotai Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Kewangan negeri dan Pejabat Hutan Pahang untuk mencari sumber pendapatan baharu kerajaan negeri.
“Hasil kerajaan negeri selama ini banyak bergantung kepada punca tradisional seperti tanah, hutan dan air. Namun, ia tidak lagi dapat menjana pendapatan sebagaimana yang diperlukan dan hasil ini tidak dapat dipertingkatkan kerana kita tahu sumber hutan, contohnya, tidak mungkin dapat disambung dalam tempoh singkat.
“Jadi, kita kena fikir macam mana cipta kekayaan supaya dapat perkukuhkan kewangan kerajaan negeri dengan meneroka sumber baharu. Contohnya, dalam perlombongan bauksit, kalau kerajaan negeri libatkan diri secara terus, pendapatannya lebih lumayan berbanding hanya mendapat royalti,”katanya.
Selain itu, katanya kerajaan negeri tidak memperoleh pendapatan yang tinggi daripada bekalan air bersih kepada rakyat kerana kadar yang dikenakan sekarang amat rendah untuk menampung kos operasi.
Adnan berkata Pahang merupakan negeri kedua yang mempunyai tarif air terendah di negara ini, dengan kali terakhir kadarnya dinaikkan adalah 40 tahun lepas.
“Untuk setiap unit air, kerajaan negeri perlu membayar di antara 60 hingga 70 sen. Kalau kerajaan negeri naikkan (kadar) sehingga 200% sekali pun, kita masih lagi tidak dapat menampung kos operasi.
“Untuk mendapat sedikit lebihan untung, kita perlu naikkan sehingga empat kali ganda daripada tarif sedia ada. Namun, jika ini dilakukan, sudah tentu ia akan membebankan rakyat dan kerajaan negeri sama sekali tidak bercadang berbuat demikian demi kepentingan rakyat,”katanya.
Persidangan dewan disambung semula esok.–Bernama