PADU kurang dapat sambutan, pendaftaran rendah

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya sembilan faktor dilihat menjadi punca sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kurang mendapat sambutan penduduk berusia 18 tahun ke atas apabila hanya kira-kira 16 peratus mendaftar setakat kelmarin, tujuh minggu selepas pelancarannya 2 Januari lalu.

Senarai berkenaan, menurut ahli ekonomi, terdiri daripada faktor masa yang perlu diambil untuk melengkapkan semakan dan pendaftaran, terlalu banyak maklumat untuk diisi, tiada akses atau akses terhad kepada internet atau teknologi digital, kurang kesedaran, halangan bahasa dan persepsi terhadap sistem dalam talian.

Selain itu, faktor demografi seperti umur, pendidikan, tahap dan lokasi geografi juga dilihat menyumbang kepada kurangnya sambutan, selain ada golongan tertentu mungkin melihat mereka tidak akan mendapat manfaat daripada PADU.

Ada juga disebabkan kebimbangan terhadap keselamatan data, selain tidak yakin terhadap keupayaan kerajaan untuk mencapai sasaran serta menangani keperluan rakyat secara berkesan seperti objektif digariskan.

Berdasarkan maklumat terkini, seramai 3.56 juta individu sudah membuat semakan dan pendaftaran setakat tengah malam kelmarin dengan tiga negeri merekodkan pendaftaran tertinggi, iaitu Selangor 540,000 orang, diikuti Sarawak (460,000) dan Johor (350,000).

Pensyarah ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berpandangan tempoh masa yang lama untuk mendaftar dan banyak maklumat perlu diisi, menyebabkan ramai yang bertangguh atau enggan mendaftar dalam PADU.

Justeru, katanya, untuk meningkatkan pendaftaran, perlu ada pendekatan carrot and stick atau ganjaran dan hukuman, merujuk tawaran hadiah atau cabutan bertuah untuk mereka yang mengisi, manakala yang gagal berbuat demikian akan tercicir daripada menerima bantuan kerajaan, sama ada tunai atau subsidi.

“Perlu beritahu bahawa kali ini bukan B40 sahaja yang layak, tetapi ada juga M40 yang layak untuk diberi bantuan. Oleh itu kena isi dulu baru tahu layak atau tidak,” katanya kepada BH semalam.

PADU akan dijadikan sistem pangkalan data utama negara yang komprehensif dan dijamin selamat selaras transformasi digital untuk menghasilkan analitik tepat bagi membantu penggubalan dasar, termasuk dasar bersasar untuk mengimbangi kedudukan fiskal, selain membuat keputusan berpacukan data.

Melalui sistem itu, semua data disimpan di bawah satu bumbung, sekali gus memudahkan urusan penduduk di Malaysia yang mempunyai 455 institusi sektor awam membabitkan 70 kementerian, jabatan dan agensi, 13 kerajaan negeri, 83 badan berkanun Persekutuan, 134 badan berkanun negeri dan 155 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ia yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warga negara serta pemastautin tetap di negara ini, akan turut memudahkan urusan pemberian subsidi serta bantuan kewangan kerana golongan sasar tidak perlu lagi mengisi data maklumat diri berulang kali.

Berdasarkan bancian 2023, Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 33 juta penduduk, meliputi 7.7 juta berusia 14 tahun dan ke bawah, 15 hingga 64 tahun (23.1 juta) dan 2.4 juta individu berusia 65 tahun dan ke atas.

Pendaftaran PADU dibuka sehingga 31 Mac depan untuk bukan penjawat awam, manakala pendaftaran untuk kakitangan kerajaan pula yang berakhir Khamis lalu menyaksikan 1.2 juta atau kira-kira 80 peratus mendaftar.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, berkata kadar pendaftaran PADU yang rendah boleh dipengaruhi faktor sosioekonomi.

Ia, katanya, seperti akses terhad kepada teknologi atau sambungan internet, kurang kesedaran mengenai platform PADU, halangan bahasa, persepsi terhadap pendaftaran dalam talian dan ciri demografi seperti umur, pendidikan serta lokasi geografi.

“Memahami dan menangani halangan ini boleh membantu meningkatkan kadar pendaftaran di PADU,” katanya menambah, ada juga yang mungkin tidak mendaftar kerana berpandangan tiada manfaat atau mereka tidak akan mendapat perkhidmatan atau bantuan yang dimaksudkan.

Ia juga, katanya, boleh disebabkan rasa tidak yakin terhadap keupayaan kerajaan mencapai sasaran dan menangani keperluan rakyat secara berkesan seperti objektif digariskan susulan pelaksanaan PADU, yang jika tidak dicapai, boleh memburukkan lagi ketidaksamaan sosial dan menghalang matlamat pembangunan.

Beliau berkata, jika PADU tidak mendapat sambutan, pengumpulan data akan menjadi tidak mencukupi, sekali gus menjadi cabaran untuk penggubal dasar menilai dengan tepat impak program itu dan seterusnya membuat keputusan tepat untuk perancangan dan penambahbaikan.

Justeru, Mohamad Idham mencadangkan kerajaan, antara lain melancarkan kempen kesedaran lebih menyeluruh untuk menyebar luas maklumat berkaitan PADU, faedahnya dan cara serta bantuan mendaftar. –Berita Harian

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia