Orang Asli tidak mahu undi BN mahupun PAS

Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (Jaringan) Nasir Dollah berkata demikian sambil menambah bahawa pihak mereka tidak teragak-agak untuk mengundi pihak ketiga sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Keputusan ini dibuat sebulat suara kerana kecewa dengan kedua-dua parti berkenaan. Sebelum ini, masyarakat Orang Asli banyak membantu Umno (BN) dalam mengekalkan kedudukan di Gua Musang.

“Namun, sehingga kini mereka (kerajaan) gagal membantu kami dalam menyelesaikan konflik yang melanda. Begitu juga dengan kerajaan negeri yang menolak usul kami bulat-bulat tanpa sebarang rundingan.

“Jadi, buat apa kami mahu menyokong mereka (PAS atau BN)? Walaupun haluan parti itu berbeza, mereka sama saja,” katanya.

Terdahulu, seramai 47 Orang Asli yang membina sekatan di Simpang Petei dan Pos Bihai, di sini, ditahan dalam operasi Jabatan Perhutanan Kelantan, dan kesemua bangsal binaan mereka dirobohkan.

Kesemua tahanan itu bagaimanapun dibebaskan selepas dua hari direman, manakala tujuh tahanan dalam operasi kedua di sekatan Pos Pasik, dibebaskan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Operasi itu dibuat setelah Orang Asli di sini tidak mengendahkan notis pemberitahuan untuk mengosongkan kawasan berkenaan bagi memberi laluan kepada aktiviti pembalakan.

Tambah Nasir, bukan sahaja parti, malah masyarakat Orang Asli turut kecewa dengan kenyataan dikeluarkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang tidak membantu, malah menimbulkan persepsi negatif mereka terhadap agensi berkenaan.

“Kami kecewa dengan kenyataan Jakoa bahawa Orang Asli Gua Musang bertindak tidak mengikut saluran yang betul sepertimana laporan akhbar.

“Apakah yang dimaksudkan dengan kekerasan? Tindakan kami sememangnya mengikut perundangan di mana kami bekerjasama dengan pihak berkuasa serta mengikut arahan walaupun Balai Adat kami dirobohkan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah beberapa kali bertemu kerajaan negeri selain menghantar memorandum tuntutan, namun tidak mendapat respons positif.

“Ada baiknya Jakoa dimansuhkan atau pulang balik kepada kami sendiri untuk mentadbir kerana setakat ini 90 peratus Jakoa bukan Orang Asli,” katanya.

Selain itu, Nasir memberitahu, dia terkejut apabila Jakoa menyatakan sebanyak 176,000 hektar diwartakan kepada Orang Asli.

“Saya rasa ini gurauan kerana mengeluarkan kenyataan tanpa fakta dan hitam putih. Sebagai badan kerajaan, pastikan kenyataan mengenai isu tanah berserta dengan bukti yang kukuh.

“Jika begini caranya, sampai bila-bila isu Orang Asli tidak akan selesai dan kami akan terus menjadi kaum yang dianiaya,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri