CYBERJAYA: Ahli Parlimen Orang Asli pertama Ramli Mohd Noor meminta masyarakat peribumi itu supaya kurangkan berhibur secara melampau dan mengelak daripada aktiviti negatif yang merugikan mereka.
Katanya, Orang Asli perlu berubah untuk meningkatkan sosio ekonomi mereka agar tidak ketinggalan berbanding bangsa lain.
Ahli Parlimen Cameron Highland itu berkata, Orang Asli sememangnya terkenal dengan ketinggian seni budayanya, namun mereka perlu mempunyai had dalam melakukan apa sahaja.
“Ketagihan alkohol…(minum arak) ini ada dalam budaya kami, kepala otak dia… tidak ada wujud budaya (minum) arak (dalam kalangan Orang Asli) di Semenanjung.
“Kurangkanlah berhibur… Orang Asli seni cukup hebat… (tetapi) berhibur hadkanlah sampai jam 10 malam… jangan sampai esok pagi, Tok Batin saya harap nasihatkanlah,” katanya ketika sesi pembentangan pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) di Pusat Perdagangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini.
KEB2024 berlangsung semalam dengan ucaptama disampaikan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Sesi kemuncak KEB2024 akan dirasmikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim esok.
Sementara itu, Ramli menggesa supaya Orang Asli keluar daripada kepompong sebagai bangsa yang malas dan hanya mengharapkan subsidi kerjaan.
Katanya, Orang Asli perlu mencontohi kemajuan Orang Melayu yang kini jauh ke hadapan berbanding mereka.
“Aktiviti negatif kurangkan, jangan jadi satu bangsa yang malas bangsa yang harapkan subsidi, kita kena berubah.
“Orang Melayu dulu rumah mereka macam rumah Orang Asli…(tetapi) sekarang Orang Melayu di mana, adik kita itu… kita kena berubah dan perkara utama adalah pendidikan,” katanya. –Malaysiakini