Olimpik: Khidmat Beasley jadi buruan

Pemenang pingat gangsa acara keirin Sukan Olimpik Rio, Azizulhasni Awang berkata selain Jepun, jurulatih berusia 54 tahun dari Australia itu turut diburu Iran dan Hong Kong.

“Beliau menerima tawaran lumayan dari negara lain dan saya bertuah berlatih di bawahnya dan berharap beliau akan terus kekal,” kata pelumba berusia 28 tahun yang kian menyerlah di bawah bimbingan jurulatih itu.

Azizulhasni yang turut dikenali sebagai ‘Rocket Pocket Man’ telah berlatih bersama Beasley sejak 2007 di Melbourne, Australia dan usahanya menampakkan hasil di Sukan Olimpik Rio apabila memenangi gangsa dalam acara keirin, selepas menjadi pelumba tunggal Asia yang layak ke final semalam.

“Saya dapat menyesuaikan diri dengan corak latihannya dan sukakan caranya…beliau banyak berkorban untuk perkembangan karier saya dan mahukannya kekal di Malaysia, untuk melatih pelumba berbakat lain,” katanya.

Beasley telah diserapkan dalam Program Podium, program khusus yang disediakan secara saintifik bagi sekumpulan atlet terpilih agar dapat memenangi pingat di sukan bertemasya seperti Komanwel, Asia dan Olimpik.

Sementara itu, Beasley berkata beliau bersedia untuk kekal jika khidmatnya masih diperlukan.

“Lagipun tugas saya belum selesai bagi melahirkan lebih ramai pelumba pecut dan keirin untuk Malaysia,” katanya.

Beasley berkata di bawah Program Podium, beliau perlu menyediakan kerangka dan memastikannya dapat dilaksanakan.

“Sebaik kerangkanya ada, lebih ramai pelumba berbasikal Malaysia dapat dibimbing untuk beraksi di peringkat antarabangsa,” katanya sambil menambah aspek teknologi sukan perlu ditangani.

“Kita perlu merapatkan jurang dalam aspek teknologi dan taktikal dengan pelumba Eropah dan Britain,” kata Beasley. – Bernama

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2