OIC gesa mesyuarat tergempar isu Rohingya

Setiausaha Agung Yousef A Al-Othaimeen juga mengutuk “penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia” ke atas masyarakat Rohingya, kata OIC dalam satu kenyataan.

Ini berlaku selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata OIC maklum mengenai perhimpunan pro-Rohingya yang diadakan di Kuala Lumpur yang dihadirinya menyebabkan perbalahan diplomatik dengan Myanmar.

“Kerajaan Myanmar mesti menyedari bahawa kedudukannya dalam masyarakat antarabangsa tidak hanya datang dengan peluang-peluang tetapi juga dengan tanggungjawab,” kata OIC.

Ia juga menggesa siasatan antarabangsa mengenai laporan pembunuhan beramai-ramai dan penganiyaaan terhadap wanita Rohingya, yang didakwa dilakukan pasukan tentera.

Kerajaan Myanmar menafikan tentera melakukan keganasan, dan sebaliknya menyalahkan militan tempatan.

Bekas Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan berkata tidak ada “pembunuhan beramai-ramai” seperti dilaporkan secara meluas.

Annan berkata demikian selepas melawat kawasan konflik di negeri Rakhine di Myanmar, atas jemputan pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi.

Myanmar minggu lalu memanggil duta Malaysia ke negara itu bagi membantah kehadiran Najib pada perhimpunan tersebut dan menghentikan penghantaran pekerja ke Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun, menyambut baik langkah Myanmar untuk menghentikan penghantaran pekerja dan berkata ia tidak memberi kesan kepada Malaysia.

Terdapat lebih 50,000 pelarian Rohingya di Malaysia, tetapi Malaysia tidak mengiktiraf pelarian tersebut secara rasmi, menyebabkan mereka terdedah kepada eksploitasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, bagaimanapun, berkata agensi pelarian PBB UNHCR dibenarkan untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada pelarian Rohingya. –Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia