Menurut laporan Sinar Harian, Namewee yang memakai kemeja T putih diiringi anggota polis tiba di pekarangan bangunan mahkamah kira-kira 10.25 pagi dengan menaiki kereta polis.
Dia yang kelihatan tenang dalam keadaan bergari memberi kerjasama yang baik ketika lebih 30 media merakamkan wajahnya.
Namewee diperintah mahkamah oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Ahmad Tajudin Zaini untuk ditahan reman empat hari bermula Isnin sehingga 25 Ogos mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Petang Ahad, Namewee ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Taiwan.
Sebelum ini, Namewee dikatakan merakam video berdurasi lebih empat minit bertajuk ‘Oh My God’ dimana klip video berkenaan dirakamkan sekitar kawasan termasuk tokong Cina, masjid serta beberapa lokasi tarikan pelancong.
Dalam klip video berkenaan terdapat empat lelaki berpakaian mengikut agama termasuk paderi, sami Buddha dan orang Islam yang lengkap berpakaian jubah dan berserban di mana lagu dinyanyikan berentak Rap itu turut dirakamkan di dalam kawasan Masjid Terapung, Jalan Tanjung Bungah, di sini.
Terdapat beberapa aksi yang dipercayai berunsur penghinaan dimana perkataan ALLAH disebut beberapa kali dalam lirik lagu termasuk menyentuh gelas minuman, memakai jubah dan serban sambil bermain judi serta menyanyi dan menari di dalam Masjid Terapung Tanjung Bungah.