Ocean Infinity Bentang Pelan Baharu Misi Mencari MH370

PUTRAJAYA: Syarikat robotik marin Ocean Infinity akan membentangkan pelan baharu pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang kepada Kementerian Pengangkutan pada awal Mei ini, kata Menterinya Loke Siew Fook.

Bercakap dalam sidang media, Loke berkata syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu akan mengadakan pertemuan dengan beliau sendiri untuk membentangkan pelan tersebut termasuk lokasi pencarian baharu.

“Kita tunggu dulu kertas cadangan mereka dan selepas dengar pembentangan, kementerian perlu buat kertas Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri untuk mengadakan komitmen tersebut.

“Kena faham prinsipnya ialah ‘no cure, no pay’. Kalau mereka tak dapat jumpa pesawat itu, tidak ada bayaran diberikan. Namun begitu kalau sudah ada komitmen (perjanjian), kalau mereka jumpa kita perlu bayar. Ia (akan) melibatkan implikasi kewangan dan memerlukan kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.

Sebelum ini Ocean Infinity melaksanakan pencarian di Lautan Hindi pada 2017 dan berakhir pada 2018.

Pada 3 Mac lepas, Loke dilaporkan berkata Kementerian Pengangkutan memberi jaminan akan melakukan segala yang mungkin bagi mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri menandatangani kontrak baharu dengan Ocean Infinity untuk menyambung semula pencarian pesawat MH730 yang hilang 10 tahun lepas.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 4 Mac menyatakan kesediaan Malaysia untuk membuka semula siasatan kehilangan pesawat itu sekiranya terdapat bukti baharu dan kukuh.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. -Free Malaysia Today

Related posts

Tiada Lagi Tempat Selamat Di Malaysia, Guan Eng Gesa MKN Mesyuarat Bincang Isu KK Mart

Kaedah Bekal Senjata, Butiran Perbualan Shalom, Pasangan Suami Isteri Adalah Sulit

Lelaki Warga Israel, Pasangan Suami Isteri Bakal Berdepan Hukuman Mati