Pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) jurusan Astrofizik di Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, United Kingdom (UK) itu membentangkan hasil penemuan mereka dalam sidang akhbar ketika perjumpaan Persatuan Astronomi Amerika Syarikat di Grapevine, Texas, Amerika Syarikat pada 9 Januari lalu.
Sekumpulan saintis itu melakukan kajian analisis tersebut menggunakan teleskop sinaran-X (X-ray) terbaharu daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang dinamakan NuSTAR (Nuclear Spectroscopic Telescope Array).
Dalam satu temu bual secara dalam talian bersama portal majalahsains.com pada Jumaat, Nur Adlyka Ainul yang juga saintis teleskop itu berkata, penyelidikan berkenaan memberi tumpuan khusus mencari lohong-lohong hitam supermasif aktif yang tersembunyi daripada pandangan manusia kerana dilindungi gas dan habuk yang tebal.
“Saya menggunakan NuSTAR untuk mencari lohong-lohong hitam ini kerana teleskop X-ray ini dapat mengesan lohong-lohong hitam serta menembusi gas dan habuk yang tebal tersebut.
“Mencari lohong-lohong hitam tersembunyi ini sangat penting untuk membantu kita memahami bagaimana lohong-lohong hitam di alam semesta mengembang dan memberi kesan kepada galaksi yang diduduki,” katanya yang merupakan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Sebagai Ketua Penyelidik salah satu daripada dua lohong hitam yang dijumpai itu, Nur Adlyka Ainul berkata, ia terlindung daripada gas dan habuk tebal di salah satu galaksi yang berdekatan bumi iaitu Galaksi NGC 1448.
“Lohong hitam tersebut berada di tengah-tengah Galaksi NGC 1448 yang berada dalam jarak 38 juta tahun cahaya dari galaksi kita. Oleh kerana saiz alam semesta kita sangat besar, di dalam dunia astronomi, jarak ini dikira sangat dekat dengan kita. Penyelidikan saya ini dibantu oleh saintis-saintis NuSTAR yang lain di serata dunia,” katanya yang berasal dari Muar, Johor.
Anak kedua daripada empat beradik itu mula minat menceburi bidang Astronomi dan Astrofizik ketika berumur 13 tahun setelah menonton filem Armageddon dan Apollo 13.
Berikutan kejayaannya itu, dia berharap dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda negara ini agar tidak takut menceburi bidang itu yang dianggap baharu serta tidak mempunyai prospek pekerjaan yang banyak di Malaysia.
“Lebih ramai yang menceburi bidang ini akan lebih banyak pekerjaan yang mampu ditawarkan, insya-Allah. Saya juga berharap kejayaan kecil ini mampu menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada penyelidik-penyelidik fizik dan astronomi di Malaysia untuk membangunkan lagi bidang Astronomi dan Astrofizik di negara kita agar setanding di mata dunia.
“Besarlah harapan saya agar kerajaan Malaysia dapat meneruskan tajaan biasiswa kepada yang layak dan berbakat tanpa mengira bangsa dan agama, terutamanya pengajian lanjutan peringkat kedoktoran kerana pada peringkat inilah kita betul-betul dapat mengumpul pengalaman yang sangat berguna dan memberi sumbangan besar dalam bidang yang diceburi, seterusnya mengharumkan nama negara,” katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda kelas pertama dalam bidang Fizik dan Astrofizik dari University of Sheffield, UK pada 2013.
Kertas penyelidikan berkaitan penemuan kumpulan saintis Nur Adlyka Ainul itu akan diterbitkan di dalam jurnal The Astrophysical Journal dan versi pracetak kertas tersebut boleh dibaca di https://arxiv.org/abs/1701.00497. – Utusan Online