Menurut laporan Kosmo Online, Presiden Persatuan Zoologi Malaysia, Datuk Seri Zaharin Md. Arif berkata, kos tinggi perlu ditanggung jika anak panda itu disimpan lebih dua tahun di negara ini.
“Mengikut perjanjian antara Malaysia dan China, kami perlu membayar kos sewa sebanyak AS$600,000 (RM2.4 juta) untuk anak panda itu tidak termasuk premium insurans tahunan bernilai RM200,000.
“Namun demikian, kami akan berbincang dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China tentang perlanjutan tempoh simpanan anak panda itu pada bulan November nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan hari jadi ke-10 pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang di Zoo Negara pada Selasa.