NOW lancar Indeks Pembaziran Kerajaan

Pengarah Eksekutif NOW, Rafizi Ramli berkata, hasil kajian tersebut telah dibukukan dan diperincikan melalui satu indeks pertama dalam negara yang dikenali sebagai Indeks Pembaziran Kerajaan – NOW (IPKN).

“Perbincangan yang lebih terperinci akan dibuat mengenai kaedah yang digunapakai untuk menghasilkan IPKN dan juga bagaimana indeks tersebut dapat membantu dalam usaha memerangi rasuah dan ketirisan sama ada daripada sudut sosial, politik dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan berkata skandal rasuah di Sabah baru-baru ini membuktikan tahap ketirisan negara kini berada pada tahap yang semakin kronik serta membimbangkan.

Beliau berkata pendedahan berhubung skandal tersebut bukannya merupakan isu terpencil memandangkan sebelum ini beberapa kes penyelewengan melibatkan agensi di bawah kerajaan juga turut berlaku.

“Sebelum ini, pegawai-pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah disiasat pada Ogos 2016.

“Manakala Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula telah didakwa pada Mac 2016 masing-masing atas tuduhan penyelewengan jutaan ringgit dana awam,” katanya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini berjaya menjumpai sejumlah wang tunai di dalam sebuah rumah salah seorang pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah dalam serbuan ke rumahnya.

Rafizi berkata, apa yang menjadi kerisauan rakyat negara pada masa ini adalah berhubung tindakan yang akan dikenakan ke atas pihak-pihak terlibat dengan isu penyelewengan tersebut selepas ini.

Tambah beliau, Malaysia hanya bergantung kepada siasatan oleh pihak berwajib atau pembongkaran skandal untuk mengetahui maklumat-maklumat penyelewengan dan juga laporan yang hanya berdasarkan pandangan umum mengenai rasuah dalam negara ini.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri