NGO India bantah pelaksanaan DLP di sekolah Tamil tahun hadapan

Mereka mendakwa, program DLP yang akan menyaksikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah Tamil akan memberi kesan negatif kepada kedudukan bahasa ibunda Tamil.

Malah kumpulan itu juga bimbang pelaksanaan DLP akan menyebabkan kemasukan guru-guru bukan India ke sekolah Tamil menerusi pelaksanaan program DLP.

“Kita boleh membenarkan bahasa lain dipelajari di sekolah Tamil tetapi bukan pengajaran subjek dalam bahasa lain.

“Pelaksanaan program DLP juga akan menyebabkan, selain matapelajaran bahasa Tamil, murid terlibat mungkin terpaksa belajar pelajaran atau subjek lain dalam bahasa lain antaranya Inggeris,” dakwa wakil NGO itu Rajarethnam seperti dilaporkan Tamil Nesan.

Rajarathnam juga mendakwa, tiada bezanya antara sekolah Tamil dan sekolah kebangsaan sekiranya DLP dilaksanakan selain menolak kenyataan bahawa bilangan murid di sekolah Tamil akan bertambah dengan DLP.

Dakwanya lagi, pada tahun 1957 semasa negara mencapai kemerdekaan, sebanyak 1,000 sekolah Tamil telah berfungsi dengan seramai 23,000 murid sahaja, tetapi kini dengan hanya 525 sekolah Tamil bilangan murid mencecah sekitar 94,000 orang.

“Memang benar bilangan murid di sekolah Tamil telah bertambah, tetapi ia tidak boleh dikaitkan dengan DLP.

“Apa yang kami tegaskan kepada ibu bapa adalah supaya tidak menyokong DLP ini kerana pelajar yang tidak mahir berbahasa Inggeris pencapaiannya akan merosot apabila Sains dan Matematik diajar dalam BI.

“Kami boleh menerima guru bangsa lain mempelajari bahasa Tamil dan kemudian mengajar di sekolah Tamil tetapi bukan menempatkan guru lain untuk mengajar DLP,” ujarnya.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Mannar Mannan dari Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM), berkata pihaknya bukan musuh ketat untuk bahasa lain di sekolah Tamil tetapi menentang perubahan matapelajaran ke bahasa lain iaitu DLP.

“Kami boleh membenarkan pertambahan waktu pengajaran subjek BI di sekolah Tamil tetapi tidak bagi Sains dan Matematik dalam BI, ia tidak diperlukan di sekolah Tamil lagi,” tegasnya. – Tamil Nesan

Related posts

Guan Eng perlu berundur jika pembangkang berbaik semula dengan PAS – MCA

Jawab masalah India yang dilaporkan akhbar Tamil, bukan menentang – DAP Perak

Jelaskan dakwaan ‘Melayu terabai di Pulau Pinang’ kepada polis -Ram Karpal