Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata punca kematian Maimon Abdul Samad, 76, disahkan pakar patologi Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru ketika melakukan bedah siasat pagi tadi.
“Menurut doktor, mangsa mati akibat ditikam di perut sebelah kanan dan mengenai paru-paru pembuluh darah.
“Semasa suspek memenggal kepala dan memotong kedua belah lengannya, mangsa telah pun mati,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Dalam kejadian itu, suspek yang berumur 19 tahun didapati memenggal kepala neneknya dengan menggunakan sebilah pisau berukuran antara enam hingga tujuh inci panjang, sebelum meletakkan kepala tersebut di hadapan pintu masuk rumah.
Tubuh mangsa pula berada di bawah sinki di ruang dapur dengan kedua kakinya telah dipotong di bahagian peha tetapi tidak putus.
Kedua-dua tangan mangsa juga dipotong dengan hanya sebelah kiri masih berada di sisi tubuh mangsa.
Suspek bertindak demikian kerana dipercayai mengalami gangguan mental dan dikatakan tidak memakan ubat sejak beberapa bulan lalu.
Suspek melarikan diri ke kawasan ladang sawit berhampiran Felda Pengeli Timur sejurus kejadian sebelum kemudiannya berjaya ditahan, kira-kira 8.20 malam semalam.
Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Hairul Azhar Mohamad hari ini membenarkan suspek direman sehingga 16 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. –Bernama