Nasib United di tangan Swansea

Dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) malam ini, United tiada pilihan selain menumpaskan AFC ‎Bournemouth di laman sendiri dan mengharapkan kejutan berlaku apabila City bertandang ke Swansea.

‎City pula hanya perlu mencatatkan keputusan seri untuk melayakkan diri ke kejohanan elit Eropah tersebut dengan jumlah perbezaan gol yang lebih baik.

Sekiranya City dan Swansea mencatatkan keputusan seri malam ini, untuk melayakkan diri ke Liga Juara Juara Eropah, United tiada pilihan lain selain menumpaskan Bournemouth dengan lebih 19 gol!

‎Dengan gaya permainan yang diterapkan Louis van Gaal, kebarangkalian untuk anda memenangi loteri pastinya lebih tinggi dari United menjaringkan 19 gol dalam satu perlawanan.

City, ditangga keempat EPL, mencatatkan 30 perbezaan gol setelah mengharungi 37 perlawanan berbanding 12 oleh United di tangga kelima.

Walaupun akan beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Crystal Palace di Wembley pada 21 Mei ini, penyokong United pastinya menagih aksi di kejohanan elit Eropah musim depan.

Pengurus United sebelum van Gaal, David Moyes juga dipecat sebelum pun EPL musim 2014/2015 tamat setelah United sah gagal melayakkan diri ke Liga Juara Juara Eropah.

‎United menamatkan EPL musim 2014/2015 ditangga ketujuh.

Naib Pengerusi Eksekutif United Ed Woodward juga perlu mengambil langkah drastik sama ada untuk mengekalkan van Gaal ataupun mencari pengurus baharu bagi memastikan kelab gergasi England itu kembali digeruni lawan.

Dengan Chelsea bakal diuruskan oleh Antonio Conte dan City sendiri akan dibimbing Pep Guardiola musim depan, United bakal terus merudum sekiranya tiada perubahan yang terjadi.

‎Kegagalan melayakkan diri ke Kejuaraan Liga Juara Juara Eropah juga bakal mempengaruhi kemampuan United menandatangani pemain-pemain bintang untuk musim depan.

‎Dengan ratusan juta pound telah dibelanjakan United dibawah bimbingan van Gaal sejak dua musim lepas, dan kegagalan pemain bintang seperti Angel di Maria dan Radamel Falcao‎ beraksi dengan baik dibawah kendaliannya, sudah tiba masanya untuk van Gaal digantikan dengan pengurus baharu.

Layak atau tidak ke Liga Juara Juara Eropah, United perlukan seorang pengurus yang mampu mengembalikan aura dan identiti United.

Mungkin ‎aksi pentas akhir Piala FA di Wembley pada 21 Mei ini‎ boleh dijadikan perlawanan terkahir van Gaal membimbing United, sebagai penghormatan kepadanya.

Beliau sudah melakukan apa yang dirasakannya terbaik untuk United, ‎masa sudah tiba untuk United memandang kehadapan.

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2