Najib umum RM2 juta bina semula Gereja St Jude

Peruntukan tersebut menurut Najib adalah susulan daripada permintaan penduduk kampung di Bunan Gega yang merupakan kampung halaman calon Barisan Nasional (BN) bagi Kedup Martin Ben.

Bangunan sedia ada St Jude Bunan telah berusia hampir 50 tahun dan mentadbir lebih daripada 40 gereja dan gereja kecil dalam kawasan Mongkos dan Tebedu.

“Peruntukan RM2 juta ini diperuntukkan secara bersama antara kerajaan persekutuan dan negeri sebagai simbol hubungan kerjasama erat antara kedu-dua pihak menerusi semangat BN.

“Kita adalah adil kepada semua pihak dan BN menghormati kepercayaan dan budaya semua kumpulan etnik dalam negara ini,” katanya ketika ‘walkabout’ dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Bunan Gega semalam.

Pada ‘walkabout’ itu Najib turut melawat Sekolah Kebangsaan St Jude dan melancarkan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi sekolah berkenaan.

Turut hadir mengiringi Najib semalam, Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem dan calon BN Kedup Martin.

Pada kunjungan itu semalam, Najib turut menghargai kehadiran begitu ramai penyokong BN yang membanjiri Bunan Gega sekali gus membuktikan BN terus kuat di Kedup.

“Saya hanya melihat dacing (simbol BN) dan saya tidak melihat roket (simbol DAP) mahupun simbol PKR. Ini kerana anda semua merupakan penyokong kuat BN,” katanya.

Sementara itu, Martin berterima kasih kepada Perdana Menteri atas per-untukan tersebut yang bagi beliau adalah mencukupi bagi membina semula gereja yang telah berusia 50 tahun itu.

Tambah Martin, sebelum ini gereja ini telah menerima peruntukan sebanyak RM400,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun ini bagi menaik taraf rumah paderi dan pejabat.

Related posts

PRN Sarawak ke-11 telan belanja RM135.6 juta

Itu hak Adenan – Masing

Nazri umum peruntukan RM210,000 untuk 41 ranting PBB Pantai Damai