Perdana Menteri berkata, kejayaan Azizulhasni yang digelar ‘Pocket Rocketman’ itu menyaksikan Jalur Gemilang dikibarkan buat kali kedua di bumi Brazil.
“Jalur Gemilang dikibarkan di #Rio2016 buat kali kedua. Tahniah @AzizulAWANG yg berjaya memenangi pingat gangsa! #PocketRocketMan #MAS,” katanya menerusi laman Twitternya, pada Rabu.
Dalam pusingan akhir penuh dramatik, perlumbaan lapan pusingan itu terpaksa dimulakan semula dua kali selepas pelanggaran teknikal oleh penunggang dan pada permulaan ketiga, Azizulhasni mengetepikan juara dunia dari Jerman, Joachim Eilers, untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Penunggang berusia 28 tahun yang berpusat di Melbourne itu melintasi garisan penamat untuk meraih gangsa di belakang juara bertahan Jason Kenny dari Britain dan Matthijs Buchli dari Belanda.
Kejayaan dilakar Azizulhasni itu menyaksikan kontinjen Malaysia kini menambah satu lagi pungutan pingat selepas ratu terjun negara Pandelela Rinong dan gandingannya, Cheong Jun Hoong memenangi pingat perak acara 10 meter platform seirama pada Rabu lepas (10 Ogos). – Bernama