Najib taja haji untuk politik, bukan pahala, kata Dr Mahathir

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Dr Mahathir Mohamad mendakwa tindakan Najib itu adalah berunsur rasuah yang juga haram di sisi Islam.

“Lagipun mereka tentu tahu bahawa tujuan Najib membiayai beribu orang untuk tunaikan ibadat haji bukan kerana mencari pahala tetapi kerana bertujuan mendapat sokongan politik dari penerima-penerima ini.

“Ini adalah satu jenis rasuah dan ini juga haram disisi agama Islam,” kata Dr Mahathir, memetik kenyataan di laman blog www.chedet.cc miliknya.

Kenyataan bertajuk ‘Rasuah dan Ibadat Haji’ itu turut menempelak mufti-mufti yang menyanggah kenyataan Dr Mahathir sebelum ini bahawa wang 1MDB yang digunakan untuk menaja jemaah haji adalah tidak sah dan mereka yang menunaikan ibadat haji melalui penjaan 1MDB tidak memperolehi haji yang mabrur.

Mungkin orang Islam seperti saya tidak tahu secara mendalam dengan hukum hakam Islam, tetapi semua tahu bahawa wang yang dicuri tidak halal. Mengguna wang yang dicuri untuk ibadat amat bercanggah dengan ajaran Islam. Ia ditegah.

“Oleh kerana mufti-mufti tidak tahu dan tidak mengadakan kajian dan perbicaraan dengan tertib sebelum mereka membuat kenyataan bahawa saya cuba menjadi Tuhan kerana menyoal samada sah atau tidak mengguna duit 1MDB, maka saya berhak mempertikaikan dakwaan mereka,” kata mantan perdana menteri itu lagi.

Dr Mahathir berkata, mufti-mufti berkenaan juga pegawai upahan kerajaan dan turut berhadapan tindakan sekiranya bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkanya.

“Lebih-lebih lagi mereka adalah pegawai upahan kerajaan dan terdedah kepada tindakan jika mereka, dengan mendakwa ibadat haji dengan duit 1MDB tidak sah, sekaligus mengaku Najib telah mencuri duit 1MDB.

“Apakah pendapat mufti berkenaan dengan ibadat haji dengan duit dua kali haram – sekali duit curi, kemudian duit sogok.

“Kalau masih anggap halal, terimalah dan lakulah ibadat haji dengan duit 1MDB,” katanya.

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad sebelum ini berkata jemaah haji perlu yakin bahawa setiap ibadah yang dilakukan itu diterima oleh Allah dan bukannya ditentukan oleh seseorang sekaligus mereka tidak perlu khuatir dengan status penjaan ibadat haji oleh 1MDB.

Imam Masjid Negara Khisamudin Ismail pula berkata kenyataan yang dikeluarkan Dr Mahathir itu hanyalah berunsur politik semata-mata dan tidak seharusnya dibimbangi jemaah haji yang terlibat.

Mufti Pahang Dr Abdul Rahman Osman menegaskan mabrur hanyalah ibadah yang dilaksanakan sewaktu berada di Mekah dan tiada kaitan dengan soal siapa yang memberi wang.

Sejak 2011, Yayasan 1MDB menaja ahli jawatankuasa masjid untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Pada 2011 seramai 111 jemaah dari seluruh negara dihantar menunaikan ibadah haji dan jumlah bertambah kepada 400 orang pada tahun berikutnya, 2013 (800), 2014 (1,000) dan 2015 (1,200).

Manakala, bagi 2016 seramai 150 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Sarawak dipilih menyertai program itu.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri