KUALA LUMPUR: Keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kecewa dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang tidak memberikan pengampunan penuh dan dibebaskan serta merta.
Sebaliknya Najib hanya diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya ketika ini.
Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa berkata, keluarganya kekal dengan pendirian bahawa ayahnya tidak bersalah.
“Walaupun kami hargai pengurangan hukuman 12 tahun kepada 6 tahun setelah pertimbangan dan nasihat, kami kecewa kerana Datuk Seri Najib tidak dapat pengampunan penuh dan dibebaskan serta merta.
“Mereka yang ikuti kes SRC secara dekat sudah tentunya tahu dan bersetuju dengan penghakiman Ketua Hakim Sabah dan Sarawak tahun lepas bahawa ketidakadilan yang besar telah berlaku ke atas Datuk Seri Najib.
“Keputusan yang betul adalah beliau wajar dilepaskan dan dibebaskan,” katanya menerusi laman media sosial, Instagram, hari ini.
Lembaga Pengampunan hari ini memendekkan hukuman penjara terhadap bekas Presiden UMNO itu kepada enam tahun dan tarikh beliau dibebaskan adalah pada 23 Ogos 2028.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu turut mengurangkan denda kepada RM50 juta daripada RM210 juta.
Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.
Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berkata, sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah. – MalaysiaGazette