Najib minta Annuar selesaikan masalah kewangan KAFA

Najib berkata, beliau berasa bimbang dengan situasi semasa bola sepak tanah air apabila terdapat beberapa pasukan negeri yang ingin menarik diri daripada Liga Malaysia 2017 akibat kekurangan dana.

“Saya bimbang bila dapat tahu ada Persatuan Bola Sepak Negeri antaranya Kelantan mahu menarik diri daripada Liga Malaysia 2017 kerana masalah kewangan. Saya harap KAFA dan juga negeri-negeri lain yang terbabit mencari jalan mengatasi masalah kewangan ini,” kata Najib, dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.

Beliau berkata, situasi yang melanda KAFA itu berpunca daripada perletakan jawatan Annuar sebagai presiden.

“Berkenaan KAFA, saya difahamkan masalah ini timbul berikutan peletakan jawatan Annuar sebagai Presiden.

Saya telah minta beliau untuk membantu KAFA, agar tidak menghampakan harapan ribuan peminat The Red Warriors,” katanya.

Tambah Najib, bola sepak adalah sukan rakyat nombor satu di dalam negara, maka penting untuk semua yang terlibat dengan bola sepak negara memastikan sukan ini terus berkembang maju.

“Kita tidak boleh menghampakan berjuta peminat bola sepak negara ini terutamanya generasi muda. Insya-Allah, dengan adanya persepakatan yang baik serta keikhlasan semua pihak, kita akan dapat mencari jalan keluar dari masalah ini,” katanya.

Kepimpinan KAFA memutuskan untuk menarik diri dari saingan Liga Malaysia 2017 susulan kekurangan kemampuan untuk menyediakan dana mencukupi untuk pengurusan skuad Kelantan itu.

Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md Noor dilaporkan berkata, mesyuarat khas exco membuat keputusan Kelantan tidak lagi mampu dan terpaksa menarik diri pada musim depan.

Namun, katanya, keputusan akhir akan dibuat melalui kongres luar biasa yang akan diadakan pada 29 Disember nanti.

Turut mengancam untuk menarik diri daripada Liga Malaysia adalah Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sekiranya mereka masih lagi tidak mendapat suntikan dana sekurang-kurangnya RM15 juta.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad, berkata ahli-ahli Exco telah mencapai kata sepakat bahawa skuad Gergasi Merah akan menarik diri jika juara 33 kali Piala Malaysia itu masih gagal mendapatkan dana minimum RM15 juta bagi kos operasi pengurusan setahun FAS.

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2