Najib janji bantu PFA, kata Shahidan

Bekas Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Najib menyatakan persetujuan untuk membantu semasa mesyuarat Kabinet minggu lepas.

“Perdana Menteri bagaimanapun tidak menyebut jumlah bantuan atau dana yang akan disumbangkan kepada PFA,” katanya ketika mengulas hasrat PFA menarik diri daripada Liga Malaysia 2017 kerana masalah kewangan, di sini malam tadi.

Shahidan yang juga penasihat PFA turut meminta PFA menimbang semula hasrat menarik diri daripada menyertai liga yang bermula Februari depan berikutan perkembangan itu.

Katanya beliau memahami pengorbanan Presiden PFA, Datuk Rozabil Abdul Rahman yang mengeluarkan jutaan ringgit sejak menerajui PFA tiga tahun lepas termasuk membayar sewa padang untuk latihan.

“Walaupun Perdana Menteri bersetuju membantu, beliau (Rozabil) masih perlu mendapatkan dana ataupun tambahan tajaan supaya PFA tidak menghadapi kemelut kewangan di pertengahan jalan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahidan menyokong cadangan melantik Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sewaktu kongres persatuan itu tahun depan.

Menurut Shahidan, TMJ layak menerajui FAM kerana kesanggupannya berkorban untuk kemajuan bola sepak tanah air, selain agresif dan berani melontar pandangan untuk melonjakkan bola sepak ke tahap baharu.

“TMJ juga telah mencipta ‘pasaran baharu’ bola sepak tanah air seperti yang dilakukan kelab Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris,” katanya.–Bernama

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2