KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) disyorkan mengambil alih peranan Padi Beras Nasional (Bernas) dalam usaha mengisi kelompongan berkaitan is kekurangan stok beras tempatan di pasaran negara ini.
Pengerusi Task Force (Kluster Makanan), Majlis Tindakan Negara bagi Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, syor itu akan dibawa dalam mesyuarat majlis itu esok yang akan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, NAFAS mampu membantu kerajaan menyertai rantaian pembekalan beras memecah penguasaan kartel dalam industri terbabit sekaligus dapat menawarkan harga yang lebih berdaya saing.
“Perbincangan yang dibuat ialah macam mana kita nak terbabit secara langsung dengan industri padi dan beras supaya lebih harmoni, di mana NAFAS sebenarnya sedang melaksanakan pembekalan baja di seluruh negara kepada pesawah.
“NAFAS juga mempunyai banyak input yang lain dan mereka juga bersedia menjadi alternatif kepada pengimport beras jika Bernas tidak bersedia untuk mendapatkan beras yang lebih kompetitif untuk menampung keperluan beras tempatan yang hanya memenuhi 62 peratus,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sebelum itu, beliau mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi NAFAS, Datuk Zamri Yaakob dan wakil pertubuhan itu di peringkat kawasan serta negeri.
Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin Hafiz memberitahu, pada perbincangan itu, pihak memaklumkan kehilangan beras tempatan adalah disebabkan oleh pembungkusan semula oleh kartel yang ingin mendapatkan keuntungan yang berlebihan.
“Jadi pembabitan daripada awal dari penjanaan tanah sehingga kepada pengawal beras pengedaran beras mampu dibuat oleh NAFAS,” katanya. – MalaysiaGazette