Wee Kiong mengakui sepatutnya dia dan V Shem sudah memenangi perlawanan itu apabila pada satu ketika memiliki dua peluang untuk menamatkan perlawanan.
“Mungkin kami tiada nasib. Walaupun kecewa, kami perlu akur dan terima kekalahan ini.
“Ia sudah berakhir,” kata Wee Kiong dengan nada sedih, memetik laporan BH Online.
Gandingan negara itu dua kali berada di ambang kemenangan apabila hanya memerlukan satu mata lagi untuk menamatkan perlawanan ketika kedudukan 20-19 dan 21-20 pada set penentuan tetapi akhirnya terpaksa akur tewas 21-23 kepada pasangan China, Fu Haifeng-Zhang Nan.
Terdahulu, pasangan itu bermula baik apabila memenangi set pertama 21-16 tetapi gagal mengekalkan rentak di set kedua apabila tumpas 11-21.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak harus ditangisi kerana gandingan nombor 12 dunia itu sudah beraksi baik selain melakukan kejutan mara ke final selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu.
Perak yang dimenangi mereka juga adalah yang ketiga diraih kontinjen negara selepas Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraihnya dalam acara terjun 10 meter platform seirama dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dalam acara beregu campuran.