Mukhriz saman fitnah setiausaha akhbar Najib

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam, Kedah berkata, melalui empat kenyataannya sebelum ini, Tengku Sariffuddin memberi gambaran seolah-olah dirinya gila kuasa dan mempunyai motif untuk menjadi perana menteri dan menggulingkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri untuk jawatan itu.

“Pada hari ini, Selasa 3 Mei, 2016, saya telah menyaman dan membuat tuntutan gantirugi terhadap Tengku Sariffuddin Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri atas beberapa kenyataannya yang bersifat fitnah terhadap Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan saya.

“Saya dengan sekeras-kerasnya menyangkal dakwaan tidak berasas dan fitnah Tengku Sariffuddin tersebut. Tidak pernah berlaku sebarang konspirasi antara mana-mana pihak dengan saya untuk menjatuhkan Najib untuk tujuan menaikkan Muhyiddin sebagai perdana menteri dengan syarat beliau membimbing saya untuk mengganti beliau di jawatan tersebut kemudian,” katanya, dalam satu kenyataan pada Selasa di laman Facebook miliknya.

Mukhriz berkata, tuduhan liar Tengku Sariffuddin bahawa niat sebenar Mahathir juga tidak masuk akal kerana jika ianya benar, tentu sekali beliau boleh terus melantik dirinya atau membantu dalam karier politiknya sewaktu beliau masih Presiden UMNO dan Perdana Menteri selama 22 tahun.

“Tidak munasabah beliau hanya mempunyai niat tersebut setelah bersara dari jawatan tertinggi parti dan negara selama 13 tahun.

“Juga tidak berasas tuduhan Tengku Sariffuddin bahawa saya bertanding jawatan Naib Presiden semata-mata untuk merealisasikan cita-cita saya yang satu, iaitu untuk menjadi Presiden dan Perdana Menteri.

“Umum mudah memahami bahawa terdapat tiga jawatan Naib Presiden UMNO dan proses untuk naik sebagai Timbalan Presiden dan Presiden perlu melalui pemilihan parti terdahulu, sekaligus menidakkan dakwaan bahawa kenaikan dari jawatan Naib Presiden kepada Presiden itu suatu proses yang mudah dan automatik,” katanya.

Mukhriz berkata dakwaan Tengku Sariffuddin bahawa jawatan Presiden UMNO menjamin jawatan Perdana Menteri juga menunjukkan betapa ceteknya pemahaman beliau mengenai Perlembagaan Persekutuan.

“Hanya Ahli Parlimen yang menikmati sokongan terbanyak dalam Dewan Rakyat yang boleh diangkat sebagai Perdana Menteri. Tiada jaminan bahawa jawatan itu bersifat eksklusif kepada Presiden UMNO sahaja walaupun sehingga kini memang keenam-enam Perdana Menteri adalah juga Presiden UMNO.

“Jangan pula didakwa oleh beliau bahawa saya tidak ingin melihat seseorang Presiden UMNO terus menyandang jawatan Perdana Menteri,” katanya.

Mukhriz berkata, jelas sekali, semua tuduhan-tuduhan dan kenyataan-kenyataan fitnah yang dilemparkan oleh pegawai-pegawai dan konco-konco Najib adalah tidak lain tidak bukan bertujuan untuk mengaburi mata dan mengalih perhatian rakyat dari penyelewengan yang melibatkan dirinya melalui skandal 1MDB dan SRC International, dan kemasukan berbilion ringgit ke dalam akaun peribadinya.

Rakyat juga katanya tidak akan terperdaya dengan taktik kotor ini dan kenyataan-kenyataan jahat yang dibuat oleh orang suruhan Najib terhadap pihak-pihak lain termasuk dirinya tidak akan melepaskan beliau dari bertanggungjawab terhadap segala kesalahan yang telah dilakukannya.

“Melalui Deklarasi Rakyat, rakyat mulai bersuara untuk menyelamatkan negara dari penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berskala besar yang dilakukan oleh Najib.

“Saya bersama rakyat dalam menuntut agar beliau undur segera daripada jawatan Perdana Menteri,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri