Muhyiddin dan Shafie sertai perarakan bantah penahanan Maria Chin

Mereka bersama 30 anggota parlimen pembangkang berarak dari bangunan Parlimen menuju ke Ibu Pejabat Polis Di Raja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Sepanjang perarakan itu, mereka melaungkan slogan ‘Bebas Maria’, ‘Hentikan SOSMA’ dan ‘Hidup BERSIH’.

Mereka turut memegang plakad yang tertulis ‘Tangkap MO1’, ‘Bebaskan Pemberi Maklumat’, ‘Jangan salah guna SOSMA’ dan ‘Pertahankan Hak Ahli Parlimen’.

Turut sama dalam perarakan tersebut ialah Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen PKR Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen DAP Gelang Patah Lim Kit Siang, Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen AMANAH Sepang Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen AMANAH Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud.

Memorandum bantahan yang ingin diserahkan kepada pihak polis telag diterima oleh Pegawai Komunikasi Korporat Urusetia Ketua Polis Negara, ASP Noor Azman Yusuf.

Maria Chin ditahan polis pada Jumaat – sehari sebelum perhimpunan BERSIH5 diadakan – di pejabatnya di Petaling Jaya.

Sebelum ini BERSIH disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan menerima pembiayaan daripada Open Society Foundations yang dikaitkan dengan hartawan AS, George Soros.

Mengikut SOSMA, Maria boleh ditahan selama 28 hari selepas mendapat kelulusan mahkamah.

Maria Chin kini dikatakan dikurung bersendirian.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri