KUALA LUMPUR: Melihatkan kehidupan rakyat semakin hari semakin sukar, Perikatan Nasional (PN) mendakwa kerajaan yang ditadbir gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak serius dalam menangani masalah ekonomi negara.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam tempoh selepas lebih setahun, masalah ekonomi terus berlarutan tanpa ada tindakan konkrit yang boleh meredakan keresahan rakyat.
“Aliran negatif IHPR (Indeks Harga Pengeluar) ini merupakan salah satu bukti keadaan ekonomi negara semakin meruncing dan tidak sihat.
“Jika kerajaan berterusan dengan cara kepimpinan dan pentadbiran ekonomi sebegini, saya khuatir Malaysia akan terjerumus dalam kancah ekonomi yang lebih buruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Muhyiddin, situasi itu dibuktikan dengan IHPR yang terus merekodkan aliran negatif 1.3 peratus pada Disember 2023 berbanding negatif 1.5 peratus pada November tahun yang sama.
Presiden Bersatu itu mendakwa ia memberi kesan terhadap kedua-dua pihak pengguna dan peniaga yang sedia ada dihimpit dan dibebani dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup.
“Sepatutnya pada fasa ini kerajaan perlu mengambil langkah segera dan tindakan luar biasa bagi menangani kemelut yang sedang dihadapi untuk memulihkan kembali perniagaan mereka.
“Bagaimanapun ini tidak berlaku malahan lebih banyak masalah timbul ekoran kejatuhan ringgit, penurunan eksport, kenaikan harga bahan import dan kelemahan kuasa membeli pengguna domestik.
Tambah Muhyiddin lagi, aliran negatif IHPR juga dijangka menyebabkan pengeluar mengehadkan input pengeluaran seperti tempoh masa kerja, bahan mentah dan seluruh rantaian kilang.
“Selain memberi kesan kepada pengeluar, ini juga sudah tentu menambahkan beban hidup rakyat dari aspek tabungan dan pengurangan simpanan individu oleh kerana sumber pendapatannya terjejas.
“Sekiranya aliran negatif IHPR berterusan disebabkan permintaan yang menurun, pengeluar mungkin mengambil tindakan mengurangkan jumlah pekerja.
“Ini akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara terutamanya masalah pengangguran dan kehilangan punca pendapatan individu yang akan mengusutkan lagi isu beban kos sara hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat pada masa ini,” ujar Muhyiddin lagi.