KUALA LUMPUR: Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata negeri itu bercadang mengwujudkan satu zon khas untuk perniagaan seperti spa, refleksologi, urutan dan pusat hiburan termasuk karaoke.
Kata Jafni, cadangan tersebut bagi membolehkan perniagaan seperti itu dipantau dan dikawal selain menjarakkan lokasinya daripada kawasan penempatan penduduk, lapor Berita Harian.
“Kita mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat zon khas bagi menempatkan perniagaan spa, refleksologi, urutan dan pusat hiburan termasuk karaoke supaya ia jauh dari penempatan dan tidak berada hampir dengan kawasan penempatan penduduk.
“Ini kerana PBT sering berhadapan rungutan dan aduan penduduk membabitkan perniagaan berkenaan yang terlalu hampir dengan penempatan sekali gus menyebabkan ketidakselesaan,” katanya.
Pada 1 Feb lalu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membekukan semua permohonan lesen baharu perniagaan spa, rawatan atau urutan tradisional dan refleksologi.
Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman, berkata keputusan diambil antaranya bagi mengawal lambakan perniagaan yang disifatkan berisiko tinggi dan sensitif itu dijalankan tanpa unsur mencurigakan.
Dalam pada itu, Jafni berkata lokasi perniagaan berkenaan yang terlalu hampir dengan penempatan sering mendapat rungutan penduduk yang tidak selesa.
Jafni yang juga Adun Bukit Permai berkata, zon khas perniagaan spa, refleksologi, urutan dan pusat hiburan termasuk karaoke sudah dilaksanakan di Kulai.
“Di Kulai, zon khas perniagaan itu diwujudkan di kawasan komersial Bandar Indahpura bagi menempatkan perniagaan berkenaan,” katanya.
Tambahnya, setiap PBT dan majlis perbandaran ada jawatankuasa khas dianggotai agensi keselamatan bagi menentukan sama ada lokasi tertentu bagi perniagaan jenis itu bersesuaian atau tidak terutama dari segi pemantauan.
“Jika ada bantahan termasuk dari penduduk dan agensi keselamatan, maka keputusan lesen perniagaan jenis itu boleh dikaji semula dan ditempatkan di lokasi lain,” katanya. – FMT