Menggunakan nama Seha Mawi menerusi laman Facebook, wanita itu turut meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan berita mengenai keadaan mayat yang tidak cukup sifat.
“Hari ni terungkai lah segala teka teki mengenai adik Edrus sepupu kami anak kepada pakcik saya yang saya panggil Pakteh. Ramai buat macam-macam spekulasi, tapi hakikatnya cerita sebenar biar kami sekeluarga sahaja tahu dan biarkan polis buat kerja mereka supaya pelaku diberikan hukuman setimpal dengan apa yang dia telah buat kepada sepupu kami..
“AllahuAkbar.. Spekulasi mengatakan jenazah tak cukup sifat juga tidak betul, cuma mangsa sudah tujuh hari meninggal dan dibiarkan di dalam hutan dan jasadnya mereput.
“Mohon berita, arwah tak cukup sifat dihentikan. Kami semua sudah reda dan bersyukur jasad adik Edrus ditemui dan juga sudah selamat dikebumikan jam 1pagi tadi,” luahnya memetik laporan Sinar Harian.
Noor Amila Edrus Norsham, 5 dilaporkan hilang pada Khamis lalu selepas pergi ke surau berdekatan kediamannya di Rumah Panjang, Jinjang Utara di sini.
Kehilangannya disedari ahli keluarga setelah dia tidak pulang selepas solat Maghrib seperti kebiasaannya.
Semalam, mayat mangsa ditemui di Kampung Kemensah, Hulu Kelang, setelah seorang suspek yang dipercayai mempunyai talian keluarga dengan mangsa, membawa polis ke lokasi penemuan.