Melalui perbualan daripada pemimpin setiap parti, kini kita tahu bahawa kepimpinan PPBM dan PAS sekurang-kurangnya sudah berjumpa dua kali. Dalam proses rundingan tersebut, PPBM pernah mencadangkan kerjasama ‘dwipakatan’ bagi menarik PAS. Dengan erti kata lainnya, walaupun PPBM sudah sepasukan dengan Pakatan Harapan, namun masih cuba untuk membentuk pakatan lain dengan PAS. Ini jelas menunjukkan replika model kerjasama antara Semangat 46 dengan pembangkang dahulu.
Cuma cadangan PPBM ini tidak mendapat maklum balas positif daripada PAS lagi sebaliknya dihentikan Mahathir sebelum rundingannya tamat. Mahathir yang bermain tarik tali dengan PAS sudah tidak dapat bertahan lagi namun beliau juga perlu melihat bahawa model ‘dwipakatan’ ini hanya akan menyulitkan lagi huru-hara yang sedang berlaku.
Pada masa lalu, parti Semangat 46 yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh telah menyertai Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk menentang BN kerana masing-masing mempunyai syarat politik dan faktor sejarah yang tersendiri.
Situasi politik ketika itu masih belum nampak sinaran mengubah rejim. Pemisahan kaum dan agama juga membuatkan pembangkang berpecah belah. DAP masih tidak diterima oleh pengundi Melayu, parti politik Islam juga sukar mendapat sokongan daripada pengundi bukan Islam. Di bawah konteks ini maka terbentuklah model kerjasama ‘dwipakatan’.
Di samping itu, Tengku Razaleigh ketika itu juga dianggap sebagai ‘Godfather’, barulah dapat memimpin dua pakatan politik untuk mengimbangi kuasa kedua-dua belah pihak. Selepas berhadapan dengan PRU12 dan PRU13, pengundi dilihat sudah menerima model kerjasama tiga parti Pakatan Rakyat.
Cuma jodoh PR tidak panjang dan berpecah. Walaupun Pakatan Harapan meneruskan kesinambungan model PR dalam bentuk baharu, namun hubungan rakan parti tidak seperti dahulu lagi. Kaedah kerjasama PPBM yang membentuk ‘3+1’ telah membuatkan pengundi lebih keliru.
Cadangan model ‘dwipakatan’ ketika ini adalah lebih kompleks daripada era Semangat 46 dahulu. Model ‘dwipakatan’ bukan sahaja tidak membantu menyatukan pembangkang bahkan gagal membantu pembangkang dalam memenangi lebih banyak undi sebaliknya akan membuatkan pengundi lebih sukar untuk memilih.
Cadangan ‘dwipakatan’ PPBM ini lebih pada kepentingan peribadi. Menurut angan-angan mereka, jika model ini berjaya memujuk PAS supaya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru dengan parti pembangkang lain, kedudukan PPBM akan lebih menyerlah manakala peluang Muhyiddin yang memperjuangkan jawatan PM akan lebih memihak kepadanya. – Oriental Daily