MKT nafi ada usaha gulingkan Presiden UMNO

SHAH ALAM: Seorang pemimpin UMNO menafikan dakwaan terdapat usaha ketua bahagian menggulingkan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelang pertemuan petang ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Zahid akan menjelaskan semua usaha untuk mendapatkan pengampunan penuh bagi bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan petang ini bersama semua ketua bahagian dan sayap di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Tidak benar, itu cuma cucukan daripada pihak ingin memecahbelahkan UMNO. Pertemuan dengan semua bahagian UMNO petang ini hasil daripada perbincangan mesyuarat MKT pada Jumaat.

“Pertemuan petang ini cukup penting bagi menjelaskan kedudukan sebenar pengampunan penuh dan usaha yang telah dilakukan UMNO,” katanya menurut Sinar Harian ketika melawat tapak projek menaik taraf Hospital Pontian di Johor hari ini.

Timbalan menteri kerja raya itu berkata, Zahid sudah berusaha sedaya upaya mendapatkan pengampunan penuh buat Najib dan UMNO kini memfokuskan usaha mendapatkan pengampunan penuh sekali lagi.

“Zahid telah lakukan banyak perkara, tidak semua boleh dinyatakan di depan khalayak ramai. Semalam, menerusi mesyuarat MKT, Zahid sudah jelaskan semua perkara yang dilakukan bagi mendapatkan pengampunan penuh Najib.”

Kelmarin, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028, selepas hukuman penjara 12 tahunnya dipendekkan kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Susulan itu, UMNO semalam dilaporkan berkata, ia akan mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi mendapatkan pengampunan penuh buat Najib. -Sinar Harian

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia