Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kapal yang terlibat dalam carian akan meninggalkan kawasan tersebut pada pada Selasa selepas menamatkan carian pada keluasan 120,000 km persegi.
Sebelum ini, Tiong Lai menegaskan, Malaysia tidak pernah mengabaikan usaha untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang di Lautan Hindi pada 8 Mac 2014.
Berdasarkan laporan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) pada 4 November lalu, pihak berkuasa Australia menyuarakan keyakinan bahawa bangkai pesawat MH370 tidak berada di Lautan Hindi, lokasi pencarian yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu.
Sebaliknya, pasukan penyiasat percaya pesawat itu terhempas berdekatan Arc Ketujuh, kawasan yang terletak di utara zon pencarian.
Selain itu, pasukan pencarian mengenalpasti kawasan baharu seluas 25,000 kilometer persegi yang berpontensi menjadi lokasi pesawat tersebut ‘bersemadi.
“Kita telah melengkapkan carian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi, kita tidak dapat menemui pesawat dan kita perlu menghentikan carian buat sementara.
“Saya ingin mengesahkan bahawa kapal yang terlibat dalam misi akan meninggalkan kawasan carian pada hari ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan di sini, Selasa.
Tiong Lai berkata, kajian mengenai kehilangan pesawat itu seterusnya akan dilakukan pasukan pakar dan kerajaan akan mempertimbangkan untuk meneruskan carian jika terdapat petunjuk yang boleh dipercayai.
Katanya, setakat ini carian MH370 telah menelan kos melebihi RM500 bilion.
Menurut Tiong Lai, walaupun tidak dapat menemui sebarang bukti atau petunjuk sepanjang tempoh carian, kerajaan tetap menghargai komitmen yang ditunjukkan pihak yang terlibat dalam misi tersebut.
“Kita telah cuba yang terbaik dengan data-data yang diberikan pasukan pakar.
“Kita telah dapat melengkapkan carian tapi sayangnya kita tidak dapat mencarinya (MH370),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga sedar bahawa tugas melakukan carian tidak mudah dan memerlukan komitmen tinggi selain anggota penyiasat perlu berdepan banyak kesukaran. -mStar