Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas berkata, penyokong MIC kini sudah berpecah kepada dua pihak antara Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Datuk Seri G. Palanivel sehingga masing-masing keliru siapa presiden sebenar parti berkenaan.
Beliau berkata, sebelum ini parti itu dikatakan mempunyai 600,000 keahlian tetapi kini 300,000 ahli sudah mengikut seorang pemimpin manakala selebihnya dibawah kepimpinan baharu di bawah Subramaniam.
“Oleh demikian selepas ini mereka tidak lagi boleh mendabik dada bahawa MIC parti besar mewakili India di negara ini.
“Saya melihat parti Gerakan disegani sebagai parti lebih besar dengan keahlian masyarakat berbilang kaum,” dakwanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Pendidikan Tamil di Universiri Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim di sini.
Katanya, ahli MIC juga kini bersedia untuk menyertai parti politik lain.
Parti itu juga katanya disindir dan dipersoal kerelevanan disebabkan para pemimpin lebih cenderung menguruskan parti dengan kepentingan diri sendiri tanpa mendahulukan khidmat masyarakat itu.
“Apabila tiba pilihan raya nanti, kita akan lihat perebutan kerusi yang berlarutan sejak dahulu lagi dan myPPP sedih melihat keadaan MIC.
“Asas parti MIC tidak kukuh dan itulah punca kepada perpecahan yang berlaku selama ini dan BN akan bertambah kukuh sekirannya masalah ini dapat ditangani segera.
“Persoalannya adakah pemimpin MIC bersedia menerima nasihat komponen atau sekutu BN demi penyelesaian masalah,” soalnya lagi.
Katanya lagi, jumlah wakil rakyat atau menteri mewakili MIC tidak menjadi penentu sebaliknya kesediaan mereka untuk membela nasib rakyat tanpa kepentingan diri adalah sangat penting.
Malah jelas beliau BN bersetuju kononnya menawarkan myPPP kerusi parlimen atau DUN yang boleh menjamin kemenangan pada PRU14 akan datang.
“BN juga bersetuju parti myPP yang memiliki 600,000 ahli dapat menganggotai kabinet sekiranya memenangi kerusi Parlimen,” tegasnya lagi. – Tamil Malar