Mesyuarat khas BN bincang isu persempadanan Khamis ini – Ku Nan

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mesyuarat itu akan disertai oleh setiausaha agung parti komponen BN seluruh negara untuk membincangkan sebarang ketidakpuasan hati mereka terhadap cadangan persempadanan semula itu sebelum keputusan dibuat untuk mengemukakan bantahan kepada SPR sebelum 14 Oktober ini.

“UMNO juga telah minta Badan Perhubungan UMNO Negeri yang mempunyai masalah (berkaitan syor persempadanan semula) untuk mengumpulkan semua syor atau bantahan dan hasil penelitian akan diserahkan kepada SPR.

“Kalau boleh, kita minta SPR lihat semula (cadangan persempadanan) kerana beberapa bahagian UMNO tidak berpuas hati, begitu juga pembangkang yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan bantahan kepada SPR,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak pada Ahad.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan Pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

SPR sedang mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula 15 September hingga 14 Oktober ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Sementara itu, beliau berkata, persempadanan semula kawasan pilihan raya merupakan perkara biasa yang dilakukan SPR setiap lapan hingga 12 tahun sekali bergantung kepada penambahan penduduk di negara ini.

Dalam pada itu, Tengku Adnan menegaskan, UMNO tiada kaitan dengan cadangan persempadanan semula sepertimana yang didakwa pembangkang kerana SPR merupakan badan yang berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti.

“Kita (UMNO) tak buat (seperti dakwaan), jadi kita akan kumpul semua bantahan mengikut garis panduan dan peraturan yang ditetapkan,” tegas setiausaha agung parti itu. – Bernama

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri