Mesti patuh syariah, syarat Rayani Air

Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran bertegas akan terus memastikan konsep itu kekal di sebalik hakikat bahawa beliau sedia melepaskan 51 peratus pegangan saham kepada pelabur baharu.

“Saya sedia melepaskan 51 peratus pegangan saham kepada pelabur baharu, sekali gus ia bermakna pelabur tersebut akan menguruskan operasi Rayani Air selepas ini dan ia perlu diurus serta dikembangkan dengan lebih baik berlandaskan sebuah syarikat penerbangan patuh syariah.

“Dua syarat paling utama bagi memilih pelabur ialah syarikat yang memberi suntikan dana bagi membolehkan Rayani Air terus beroperasi dan berkembang serta Rayani Air dikekalkan sebagai syarikat penerbangan patuh syariah.

“Sebab itu saya perlu berhati-hati dalam pemilihan pelabur. Saya berharap pelabur yang berminat terhadap Rayani Air memahami perkara ini,” katanya seperti yang dilapor oleh mStar.

Ravi, yang juga ketua pegawai eksekutif Rayani Air mengakui ada pihak lain yang sedia mengambil alih operasi syarikat itu tetapi mahu mengubah konsep patuh Syariah.

Bagaimanapun, beliau menekankan akan hanya memilih pelabur yang yang benar-benar percaya dan yakin dengan konsep sedia ada walaupun pegangan saham 51 peratus memberikan mereka kebebasan untuk mengubah konsep.

“Saya hanya mahu pelabur yang mengekalkan konsep patuh syariah. Saya gembira kerana terdapat beberapa pelabur lain masih melihat Rayani Air mempunyai potensi sebagai syarikat penerbangan patuh syariah dan mengembangkan Rayani Air ke peringkat lebih tinggi, malah mahu menyasarkan pasaran umrah,” ujar Ravi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar hasratnya untuk mengekalkan konsep patuh syariah tidak dipersoalkan hanya kerana statusnya sebagai pemilik bukan Islam.
“Isunya bukan kerana saya seorang pemilik bukan Islam, tetapi apa yang utama adalah Malaysia sebagai negara pelbagai agama dan kaum. Oleh itu, saya minta konsep patuh syariah dikekalkan kerana membantu kepada penjenamaan Malaysia,” katanya.

Minggu lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menggantung operasi Rayani Air selama tiga bulan dan dijangka akan mengadakan inkuiri ke atas syarikat penerbangan itu pada 12 Mei depan ekoran beberapa masalah dalaman pengurusan syarikat itu.

Rayani Air menjadi syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia dan keempat di dunia melaksanakan perkhidmatan penerbangan yang menyediakan makanan halal tanpa minuman beralkohol, anak kapal beragama Islam perlu menutup aurat manakala bukan Islam berpakaian sopan, serta bacaan doa sebelum memulakan penerbangan.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia