‘Mereka sedar Najib bersalah’, kata Dr Mahathir

Mantan perdana menteri itu berkata, pendirian yang diambil mereka adalah lemah kerana mereka sedar Najib tidak didapati bersalah kerana beliau menyalahgunakan kuasanya dengan menyekat proses perundangan dan menukar pendakwaraya supaya menolak segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

“Pendirian ini cuma merupakan alasan yang lemah terhadap pendirian mereka. Sebenarnya mereka tahu tuduhan terhadap Najib memang berasas dan benar.

“Mereka tahu bahawa sebabnya Najib tidak didapati bersalah ialah kerana ia sendiri menyalahguna kuasanya dengan menyekat proses undang-undang dengan menukar pendakwaraya supaya penjawat yang baru menolak segala tuduhan terhadapnya,” kata Dr Mahathir, memetik kenyataan bertajuk “Hipokrit Malaysia” di blognya, www.chedet.cc, hari ini.

Beliau mendakwa, sekiranya proses perundangan berjalan, pendakwaraya akan membawa kesnya ke mahkamah dan perbicaraan boleh dilaksanakan.

“Menurut tuduhan dan bukti yang diketahui umum Najib tetap akan didapati bersalah oleh mahkamah.

“Tetapi pendakwaraya menyembunyi laporan-laporan ini supaya mahkamah tidak dapat mendengar kes Najib. Sebaliknya pendakwaraya berlagak sebagai hakim dan memutuskan bahawa tidak ada kesalahan dibuat oleh Najib dalam laporan-laporan yang diserah kepadanya,” kata Dr Mahathir.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, yang jelas ialah Najib bukan didapati oleh mahkamah tidak bersalah, tetapi perbicaraan tidak dapat diadakan kerana disekat oleh pendakwaraya.

“Alasan mereka yang kononnya menerima Najib sebagai perdana menteri kerana ia tidak didapati bersalah, hanyalah alasan yang tidak berasas.

“Mereka sebenarnya cuba menipu diri dan menipu masyarakat. Mereka bersikap hipokrit. Mereka tahu tindakan pendakwaraya menghalang proses perundangan adalah salah,” katanya lagi.

Beliau berkata, amatlah malang Malaysia mempunyai wakil rakyat dan pemimpin masyarakat hipokrit yang turut bersama dengan Najib menjayakan penipuan olehnya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri