Menteri saran pulangkan semula ubat bantu kerajaan berjimat

Beliau memberi jaminan ubat yang belum digunakan itu, sama ada di dalam uncang atau paket, adalah selamat dan terpulang kepada budi bicara ahli farmasi tentang bagaimana untuk menggunakan ubat itu.

“Ubat yang dalam paket dan belum dibuka, belum tamat tempoh adalah selamat untuk digunakan. Tiada masalah keselamatan di sini… bagaimana cara menggunakannya terpulang kepada budi bicara ahli farmasi,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya.

Dr Subramaniam turut menggesa pesakit supaya membawa bersama ubat mereka yang tidak digunakan semasa temu janji untuk membantu doktor menyemak semula priskripsi dan memberi mereka ubat tambahan yang sewajarnya.

Mengulas mengenai bagaimana ubat boleh berada dalam simpanan yang banyak di rumah, beliau memberi contoh apabila seorang pesakit diabetes diberi ubat selama tiga bulan tetapi tidak menghabiskannya, dan diberi lagi bekalan tiga bulan dalam temu janji berikutnya.

“Pesakit boleh membawa balik ubat itu dan tunjukkan kepada doktor. Doktor kemudiannya boleh menyesuaikan jumlah ubat mengikut apa yang beliau ada. Kita boleh menjimatkan banyak wang menerusi proses seperti ini. Ini akan turut membantu kerajaan mengelak pembaziran ubat,” katanya.

Dr Subramaniam juga berkata terdapat peningkatan lapan peratus dalam jumlah pesakit luar di hospital dan klinik kerajaan, daripada 28 juta pesakit luar tahun lepas kepada 31.4 juta bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Berikutan kelembapan ekonomi, mereka beralih daripada hospital dan klinik swasta. Ini suatu perkara yang dinamik. Sehubungan itu, saya memerlukan kerjasama rakyat Malaysia untuk mengurangkan pembaziran agar kita dapat meneruskan perkhidmatan kesihatan yang bermutu tinggi,” katanya.

Beliau turut menggesa pesakit supaya membawa bersama rekod kesihatan mereka termasuk x-ray atau ujian darah daripada hospital dan klinik swasta supaya tidak perlu mengulangi pemeriksaan.

“Saya juga berharap orang ramai tidak menyalahgunakan kemudahan di hospital dan klinik kerajaan. Jangan datang ke hospital semata-mata untuk mendapatkan cuti rehat atau surat-surat sokongan lain kerana ia akan meningkatkan kos di kementerian. Gunakan kemudahan kesihatan untuk tujuan sebenar,” katanya. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia