Beliau ketika ucapan penangguhan di Dewan Rakyat, Parlimen hari ini berkata, pihaknya mengharapkan hasil daripada siasatan jawatankuasa khas itu dapat memberikan panduan dalam mencari punca kebakaran yang meragut enam nyawa semalam.
“Kejadian yang tidak diingini ini perlulah disiasat untuk mengenalpasti punca dan sebab kebakaran ini boleh berlaku dan merebak. Saya telah mencadangkan dan mengarahkan agar satu Jawatankuasa atau Suruhanjaya Khas Siasatan Bebas dapat ditubuhkan untuk menjalankan satu siasatan mendalam dan terperinci mengenai kejadian ini.
“Saya berharap jawatankuasa atau suruhanjaya khas ini dapat memberi petunjuk dan membuat penambahbaikan terhadap sistem keselamatan di hospital dan memantapkan kaedah pemantauan secara berkala bagi meningkatkan tahap keselamatan bagi pesakit dan warga kerja di hospital.
“Saya berharap hasil siasatan oleh jawatankuasa atau suruhanjaya khas ini dapat memberi panduan dan mencari punca kebakaran di hospital Sultanah Aminah ini dengan secepat mungkin,” kata Subramaniam.
Subramaniam yang juga merupakan ahli Parlimen Segamat berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya dan pihak perunding sememangnya memberi keutamaan yang tinggi kepada aspek keselamatan di samping memastikan ianya dapat berfungsi mengikut keperluan perkhidmatan.
Katanya, sebelum pembinaan, rekabentuk bangunan hospital perlu mematuhi sepenuhnya ketetapan pihak berkuasa yang berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta lain-lain keperluan seperti yang termaktub di dalam Universal Building By Law (UBBL).
“Begitu juga dengan sistem-sistem yang dipasang di dalam hospital adalah merupakan sistem yang telah mendapat pensijilan dari aspek fungsi dan keselamatan, sama ada mengikut standard tempatan mahupun antarabangsa. Ini termasuklah sistem berkaitan seperti sistem mekanikal dan elektrikal,” katanya lagi.
Tambahnya, KKM hanya akan mengambil alih bangunan untuk dioperasikan apabila ianya diperakukan siap sepenuhnya termasuk proses Pengujian dan Pentauliahan telah disempurnakan dan mendapat Sijil Layak Menduduki. Selanjutnya, semasa pengoperasian penyelenggaraan berkala akan dilaksanakan.
Selain itu, Presiden MIC itu turut berkata, satu lagi langkah tambahan dan usaha penambahbaikan berterusan selain yang telah dicadangkan ialah KKM akan menjalankan pengauditan kesiapsiagaan kebakaran kepada semua hospital-hospital di bawah kementeriannya secara berperingkat, bermula dengan hospital-hospital yang lama usianya.
“Ini adalah penting untuk mengelakkan daripada kejadian kebakaran sebegini berlaku lagi,” katanya.