Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, suspek berusia 31 tahun itu turut bertindak memegang sebilah pisau dan mengugut untuk membunuh diri.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Noor Hashim Mohamad berkata, kejadian bermula semasa bapa suspek berusia 60 tahun yang berada di restoran tiba-tiba didatangi suspek dalam keadaan marah.
Katanya, suspek yang sudah berkahwin turut memaki-hamun dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menghalau bapanya keluar dari restoran tanpa diketahui punca sebenar dia berkelakuan demikian.
“Bapa suspek memaklumkan kepada polis kira-kira pukul 8.40 pagi. Ketika tiba di lokasi, suspek masih dalam keadaan mengamuk dan bertindak agresif serta membuat kacau di restoran itu dan anggota polis cuba memujuk supaya bertenang bagi mengelakkan lelaki itu menyerang keluarga dan pelanggan.
“Suspek bagaimanapun tidak mengendahkan pujukan itu, sebaliknya terus bergegas ke dapur dan mengambil sebilah pisau sebelum mengugut untuk membunuh diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selepas hampir empat jam ‘drama’ pujukan antara suspek dan polis berlangsung, lelaki itu akhirnya menyerah diri.
Noor Hashim berkata, hasil siasatan awal mendapati, punca suspek mengamuk adalah disebabkan gangguan emosi akibat ketagihan dadah jenis syabu selain mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Suspek ditahan reman bermula Isnin hingga 30 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah dan Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah 1983,” ujarnya, memetik Utusan Online.