Ketua Pemuda Umno Johor Hahasrin Hashim berkata, biarpun selepas pelbagai dasar dan bantuan yang dikhususkan untuk melonjakkan kedudukan orang Melayu telah diperkenalkan oleh Umno, semakin hari hubungan orang Melayu dengan Umno seakan semakin renggang.
“Usaha mewujudkan hubungan baharu antara Umno dan orang Melayu juga nampaknya mencapah dan tidak bersepadu, semakin ramai orang Melayu bukan sahaja menolak Umno sebagai sebuah wadah siasah pilihan.
“Malah, orang Melayu kelihatan terkapai-kapai tanpa keunggulan baharu yang boleh menyatukan dan merangsang mereka menjadi bangsa terbaik, tanpa satu aruhan baharu dalam agenda orang Melayu yang dipimpin oleh Umno, kebanyakan orang Melayu pasti akan kekal di tampuk lama,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.
“Tidak mustahil, mereka akan tewas dalam persaingan global yang sangat radikal dan tidak mempunyai belas ihsan.”
Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda Umno Johor menyambut baik saranan Umno Johor, melalui pembawa usul politiknya ketika Perhimpunan Agung Umno 2016 minggu lalu, Ayub Rahmat supaya parti Melayu mempertimbangkan saranan Agenda Melayu Maju sebagai satu ‘Tawaran Baharu’ Umno kepada orang Melayu.
Beliau berkata, Umno perlu sedar bahawa sekadar merekodkan pertumbuhan ekonomi yang baik belum memadai kerana kesemua angka tersebut tidak secara automatik mencerminkan kualiti hidup rakyat yang sebenar.
“Kesenjangan ekonomi rakyat yang menokok, ketiadaan pelan khusus dalam mendepani peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat dan pendapatan yang kekal tidak berganjak boleh terus menjadi punca besar kemarahan dan penolakan rakyat kepada Umno dan kerajaan,” katanya.
Hahasrin berkata, kepentingan perlu diutamakan dalam isu kos sara hidup dan survival harian orang Melayu di Malaysia walaupun perkara yang dianggap sudah terlalu biasa dan klise ini boleh menjadi penentu menang atau tewasnya Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang akan datang.
“Kerana, isu kos sara hidup ini adalah isu asasi. Ia cerita kehidupan sehari-hari. Ia bukan cerita kehendak dan kemahuan. Ini isu keperluan dan amat mendesak, Umno harus ingat, orang yang kosong perutnya, juga boleh kosong kesabaran dan kewarasannya.
“Jadi Umno mesti memandang serius perkara ini. Jangan biarkan sehingga orang Melayu berasa yang mereka seakan terpaksa bertarung nyawa, demi sesuap nasi dan semangkuk hidangan di atas meja,” katanya.
Beliau berkata, tidak menghaorankan hanya sehari selepas Ayub wakil membentangkan idea keperluan Umno memberi ‘Tawaran Baharu’ kepada orang Melayu ini, DAP tanpa segan menciplak penuh idea dan saranan ini.
Malah katanya, peniruan tidak bermaruah oleh DAP tersebut ibarat menjilat ludah sendiri, memandangkan mereka amat lantang mengecam Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Johor, Mohamed Khaled Nordin, apabila beliau menyelar DAP sebagai parti rasis yang ketandusan idea baharu.
DAP sebelum ini menyarankan agar Johor mengikut sahaja secara membuta tuli segala dasar Selangor dan Pulau Pinang. Sekalipun dalam perkara yang tidak diperlukan.
“Umno atau kerajaan Pusat perlu ambil saranan Agenda Melayu Maju ini, dengan menubuhkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan (MECD), bagi kembali berada di landasan dalam membudayakan keusahawan sebagai satu kerjaya pilihan,” katanya.
Beliau berkata DAP menyerlahkan belang dan sikap sebenar mereka serta kekontangan idea parti DAP, apabila mereka turut memasukkan aspek kepentingan melahirkan masyarakat yang berdaya saing global sebagai salah satu ‘tawaran baharu’ versi mereka.
Beliau berkata, dijangkakan bahawa ekonomi digital bakal menyumbang kira-kira 18% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2020, manakala, lebih 90% daripada kesemua pekerjaan ini menuntut kemahiran digital yang pelbagai.
“Penggunaan perisian digital yang kerap dan meluas belum menggambarkan pemilikan kemahiran dan kepakaran digital yang sebenar maka Umno harus mencari jalan untuk memulihkan keadaan ini terutamanya dalam menyediakan orang Melayu untuk menghadapi semua ini.
“Umno perlu menjadi peneraju bagi memulakan langkah menjadi pelopor “The Fourth Industrial Revolution” (Industry 4.0), iaitu dengan menyediakan bakat terbaik bagi menggerakkan dunia dan ekonomi digital kita dengan kemahiran sebenar.
“Kerana, Revolution Perindustrian Keempat ini akan mengubah cara kita hidup, bekerja, dan berinteraksi antara satu sama lain. Ia adalah realiti ekonomi masa depan yang memerlukan kemahiran dan kefahaman bahasa digital dan teknologi,” katanya.