Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata apa yang berlaku dalam pembangkang adalah kuasa Melayu itu dipecahkan di antara PAS dan PKR dan mereka tidak dominan dalam pakatan itu.
“Kalau PAS nak bertanding dan memerintah dan nak menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang, kalau setakat bertanding 30, 40, 50 kerusi, macam mana nak jadi parti dominan?
“Itu bukan dominan tetapi kuasa dipecahkan kepada, masuk Amanah sikit, masuk PKR sikit, masuk BERSATU sikit,” katanya ketika menjadi panel dalam wacana ‘Politik Malaysia: Di Mana Melayu?” anjuran Sinar Harian di Shah Alam.
Menurut Razlan, apa yang dikatanya itu bukan sekadar dakwaan dan ianya telah terbukti apabila DAP berjaya memenangi kerusi lebih daripada PAS dan PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) di Perak.
Walaupun Menteri Besar Perak dilantik dari parti PAS, hakikatnya DAP yang merupakan parti dominan ketika itu sebenarnya yang mentadbir negeri itu sehingga menyebabkan mereka tidak lagi menghormati orang Melayu.
“Realitinya, apa berlaku di Perak? DAP menang lebih kerusi daripada PAS dan PKR. Mereka menuntut menjadi Menteri Besar.
“Siapa bonekanya? Sudah tentu kawan-kawan kita (PAS dan PKR) yang cakap boleh dominan, (tetapi) sudah jadi boneka.
“Tanah 99 tahun yang diberkan kepada kampung baru Cina. Kita tahu apa yang DAP mainkan. Kita cemas apabila DAP dapat kuasa mereka tidak pernah menghormati orang-orang Melayu yang memegang kuasa dengan mereka,” tegasnya.
Bagaimanapun kata Razlan, berbeza dengan UMNO yang menjadi tonggak dalam Barisan Nasional, parti yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Jelas Razlan, walaupun UMNO mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi dan berkeupayaan untuk mentadbir secara bersendirian, parti itu tetap memberi ruang kepada rakan-rakan komponen untuk bersama mentadbir kerajaan.
“BN bukan parti Melayu sahaja. Kita tonggak BN sebagai parti berbilang kaum tetapi dominannya adalah UMNO.
“Sebelum PRU12, UMNO boleh wujud single party untuk memerintahkan negara. Kita tak buat begitu kerana kita hormat BN dan rakan-rakan kita MCA, MIC. Negara ini tidak patut diperintah oleh satu kaum sahaja. Kita nak negara diperintah oleh semua kaum.
“Itu sebab kita hormati perlembagaan dan rakan-rakan baik kita. Itu sebabnya kita bagi kerusi selamat yang Melayu lebih untuk rakan-rakan kita,” ujarnya.