Ia susulan kejutan lagu yang diperoleh salah seorang peserta, Nora yang mendapat lagu asal nyanyianya sendiri untuk dinyanyikan pada peringkat separuh akhir.
Berikutan itu, pihak media secara tegas menafikan kecaman netizen yang menganggap pihak media memberi laluan mudah bagi peserta ‘favourite’.
Memetik laporan mStar Online, Farihad berkata pihak media pada sesi berkenaan telah bersepakat untuk memberikan lagu All I Ask nyanyian Adele kepada Nora tetapi sebaliknya penyanyi itu memilih lagu Sandiwara.
Katanya, akibat keputusan Nora itu, netizen mula memandang rendah kononnya wartawan mahu berkomplot untuk memberi laluan mudah kepada penyanyi tersebut.
“Disebabkan minggu depan adalah segmen Lagu Pilihan Media, maka ramai netizen yang mula menyalahkan media kerana seolah-olah kami memilih lagu mudah untuk dinyanyikan Nora,” jelasnya.
Selain Nora Ariffin yang enggan menyanyikan lagu yang diberikan, Siti Sarah dan Zarul (Umbrella) turut membuat keputusan serupa.
Siti Sarah akan menyanyikan lagu pilihannya iaitu Bunga-Bunga Cinta (nyanyian asal Misha Omar) dan Nora Ariffin pula memilih lagu sendiri iaitu Sandiwara.
Namun, Zarul memberi alasan yang boleh diterima apabila senarai lagi diberikan kepadanya pernah dinyanyikan dia sebelum ini.
Selain itu, Editor Hiburan Sinar Harian, Haslina Kamaludin berkata tindaka peserta yang menukar lagu yang diberikan dianggap tidak berani menerima cabaran.
Katanya, mereka hanya selesa untuk berada pada zon yang mereka mahukan sebagai seorang penyanyi.
“Ini adalah pertandingan Gegar Vaganza yang mana penonton ingin menonoton penyanyi itu menyahut cabaran menyanyikan lagu orang lain.
“Kalau mereka menukar lagu dan menyanyikan lagu yang mereka pilih, ia bermakna mereka tidak sedia untuk dicabar,” ujarnya.
Kira-kira 15 wartawan hiburan terlibat dalam sesi pemilihan lagu yang diadakan bulan lalu termasuklah pihak akhbar, media dalam talian, penulis blog serta wakil dalaman Astro.