Namun tidak sampai setahun kemudian, MCA sekali lagi mengadakan EGM untuk menggugurkan usul sebelum ini. Pemimpin dalaman memutuskan untuk menerima jawatan dalam Kabinet. Pengundi kemudian mengejek pemimpin MCA sebagai ‘gila jawatan’ dan menggelarkan mereka ‘tiada kuasa walaupun pegang jawatan’.
Presiden MCA, Liow Tiong Lai membalas hujah mengatakan MCA menerima jawatan Kabinet untuk menyelesaikan isu masyarakat Cina supaya MCA boleh mengambil bahagian dalam menyatakan pendirian serta membela hak kaum Cina. Pejam celik pejam celik, sudah masuk tiga tahun MCA menyertai Kabinet namun masyarakat Cina masih dilanda masalah sijil UEC tidak diiktiraf serta RM50 juta peruntukan khas SJKC tidak sampai.
Dengan berhadapan UMNO dan PAS yang saling menggoda antara satu sama lain, MCA hanya boleh menyalak kepada DAP. Sudah tentu DAP juga tidak mahu ketinggalan dan menggesa MCA untuk menyatakan pendiriannya dalam setiap isu.
Menjelang tahun 2017 ini, khabar angin kuat mengatakan PRU14 akan diadakan. Liow Tiong Lai pula sudah mengarahkan semua akar umbi parti untuk bersiap sedia dengan PRU. Beliau mengatakan parti telah mencurahkan tenaga untuk berkhidmat kepada masyarakat Cina sejak dahulu lagi dan sekarang aktiviti tersebut perlu ditingkatkan lagi dengan menambah baik perkhidmatan kepada kaum lain pula. Pada dua PRU lalu, MCA tidak mendapat sokongan dan hilang keyakinan majoriti pengundi Cina. Hari ini strategi pilihan rayanya benar-benar membuatkan orang menggelengkan kepala.
Tidakkah MCA dan Liow Tiong Lai tahu bahawa bermain kad perkhidmatan sudah tidak lagi menjadi perhatian pengundi Cina? Apa yang pengundi Cina tuntut ialah bagaimana untuk menambah baik kedudukan politik kaum Cina dan kemajuan persekitaran seluruh negara seperti kerajaan yang bersih dan telus serta kebebasan sistem kehakiman. MCA yang tidak berdaya ini sentiasa meletakkan tumpuan parti pada berkhidmat kepada pengundi dan mengabaikan usaha penting lain.
Usaha parti politik selain daripada mengajar pengundi apa itu demokrasi, pendaftaran pemilih, kesedaran mengenai pilihan raya dan berkhidmat di kawasan pilihan raya, antara lainnya ialah mengumpul dan menganalisis pandangan umum melalui kecenderungan pengundi bagi menggambarkan kerajaan yang diingini.
Melalui pilihan raya, apabila sesebuah parti itu menang, mereka akan menjadi pemerintah dan melaksanakan dasar berdasarkan pada falsafah politik mereka. Namun jika sesebuah parti itu kalah, mereka akan menjadi pembangkang dan bertanggungjawab besar dalam mengawasi kerajaan.
Sebagai sebuah parti yang sudah ‘tua’, MCA tidak lagi mampu mengetengahkan idea politik mereka dengan ‘mekanisme rundingan Kabinet’ yang berada di sisi mulut mereka. Parti itu juga hanya dapat memperjuangkan perancangan jangka pendek dan gagal menjalankan peranannya dalam pembentukan dasar.
Sebelum ini MCA gagal mengawasi kerajaan dari luar Kabinet, setelah menyertai Kabinet pula, parti itu masih tidak mampu membangunkan sebarang dasar dan hanya menekankan kualiti perkhidmatan semata-mata bahkan tidak memahami tuntutan politik pengundi Cina yang sebenar-benarnya.
Oleh yang demikian, apabila penulis mengajar pelajar mengenai pengetahuan parti politik, MCA tidak boleh dijadikan contoh atau hanya boleh dijadikan contoh negatif. Jika MCA masih menggunakan perkhidmatan sebagai kad untuk menarik undi, nescaya parti itu akan menjadi nukilan dalam sejarah. – Oriental Daily